Secara amnya, MIC kerap kali mendakwa kerusi Parlimen Cameron Highlands ini menjadi salah sebuah kerusi tetap mereka. Justeru, buakn satu perkara yang menghairankan apabila kita dapat melihat banyak poster dan kain rentang di gantung menggambarkan MIC mempunyai kuasa penuh di Parlimen ini.
Namun, sejak lebih 2 tahun lalu, keadaan mula berubah. Semuanya gara-gara perubahan tampuk pemerintahan yang menyaksikan penyandang Ahli Parlimen Parlimen ini, Datuk Seri G Palanivel disingkirkan dari kerusi MIC dan memilih untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyaksikan, pembangunan dan perancangan yang dirangka untuk Parlimen ini, terencat.
Ini menjadikan penduduk Parlimen Cameron Highlands terbiar dengan suara dan masalah mereka tidak lagi didengari oleh pentadbirnya. Menariknya pada masa yang sama, Tan Sri M Kayveas yang sekian lama memberikan khidmat bantuan kepada warga Cameron Highlands berterusan melakukan kerja mendekati rakyat disaat MIC sendiri seperti tidak mengambil tahu keadaan semasa.
Menariknya, baru-baru ini MIC mula kembali untuk mendekati warga Parlimen Cameron Highlands walaupun pada masa yang sama, Tan Sri M Kayveas kekal melakukan "ground work" terhadap warga Cameron Highlands.
Terbaru, Datuk Seri SK Devamany hadir semula ke Cameron Highlands semasa program pemberian awal bantuan persekolahan. Tiada angin, tiada ribut, secara tiba-tiba satu kain rentang dinaikkan dengan ayat, "kami tidak menolak MIC di Cameron Highlands. Kami Hanya tidak mahu S.K Devamany sebagai calon Parlimen Cameron Highlands".
Malah, ketika menemubual beberapa orang penduduk di sekitar Kampung Raja, Tanah Rata dan Brinchang, mereka mengakui, nama Datuk Seri S. K Devamany langsung tidak ada di dalam senarai pendek calon yang mereka harapkan akan bertanding di kerusi ini. Malah, ada diantara mereka mendakwa, sukar untuk bertemu dengan mana-mana wakil MIC yang kononnya berkhidmat untuk rakyat di Parlimen ini.
Dakwa beberapa orang tempatan di sini, mereka lebih senang bertemu dengan Tan Sri M Kayveas berbanding wakil MIC memandangkan beliau juga turut tinggal di Tanah Rata selain berulang alik ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.
Lebih menarik lagi, bagi kalangan warga Orang Asli yang mempunyai kira-kira 7,500 orang pengundi, mereka lebih mengenali Tan Sri M Kayveas yang mereka gelarkan "Uncle Bond" dari mana-mana wakil dari MIC. Ditambah pula dengan kemarahan sebuah perkampungan orang Asli yang masih terkesan dengan pemberian kerusi pecah dan khemah lusuh yang diberikan oleh salah seorang wakil MIC di Parlimen ini.
Agak mengejutkan juga apabila seorang bekas calon DAP selama 5 penggal berturut-turut untuk Parlimen ini, J. Appalasamy memberitahu, selama dia berada di Parlimen ini, dia akui amat sukar untuk menandingi usaha yang dilakukan oleh Tan Sri M Kayveas terhadap penduduk di sini terutamanya sekali disaat MIC seolah-olah meminggirkan warga Cameron Highlands disebabkan pergolakan politik dalaman MIC.
Justeru katanya, sekiranya BN benar-benar mahu mempertahankan kerusi ini dari dirampas oleh pembangkang, barisan kepimpinan Barisan Nasional perlu mengambil kira sentimen rakyat yang dilihat begitu terluka disebabkan pengabaian yang dilakukan oleh MIC selama ini. Rakyat memerhatikan apa yang berlaku sejak 2013 dan mereka mengharapkan perubahan berlaku bagi Parlimen ini.
Mungkin kita ada mendengar bahawa MIC kerap kali mendakwa kerusi ini milik mereka dan kerusi ini adalah kerusi paling selamat buat parti ini. Namun, keadaan semasa menunjukkan sebaliknya dan sudah ramai yang mula berani tampil untuk menolak apa jua dakwaan MIC yang sehingga hari ini menunut hak keatas kerusi ini.
Mungkin benar seperti apa yang diperkatakan oleh J Appalasamy. Seandainya BN benar-benar serius mahu mempertahankan kerusi ini, sentimen dan kemahuan rakyat harus diambil kira. Sekiranya kepimpinan BN hanya mendengar dari 1 pihak sahaja, bukan satu perkara yang mustahil, BN akan kehilangan kerusi ini pada Pilihan Raya Umum ke 14 kelak.
0 comments:
Post a Comment