Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) akan memperkenalkan latihan dan bimbingan untuk usahawan yang berhasrat meningkatkan perniagaan dengan beberapa kursus baru akan diketengahkan tahun ini termasuk untuk pengusaha bengkel.
Pengarah Eksekutif INSKEN Muhd Firdaus Azharuddin berkata, berbeza dengan agensi lain yang menawarkan latihan untuk syarikat permulaan atau mereka yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan, INSKEN memberi fokus kepada syarikat yang sudah beberapa tahun dalam industri dan mahu mengembangkan operasi mereka.
“Kita tidak mahu berlaku pertindihan tugas antara agensi memandangkan kami juga berada di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Jika agensi lain seperti SME Corp menawarkan bimbingan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kami juga melakukan tugas sama namun dalam skala yang berbeza,” katanya, di sini.
Menurutnya, INSKEN menawarkan latihan dan bimbingan secara praktikal dengan tenaga pengajar terdiri dalam kalangan mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam sesuatu industri itu.
“Sebagai contoh, tahun lalu kami mengendalikan program bimbingan untuk pemilik spa, maka tenaga pengajar adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai perniagaan spa dan tahu selok-belok serta masalah berkaitan perniagaan itu.
“Malah, tenaga pengajar ini juga akan berkunjung ke spa milik peserta untuk melihat sama ada perlu penambahbaikan bagi meningkatkan perniagaan mereka,” katanya.
Tahun lalu, INSKEN mengendalikan enam program daripada industri berbeza dengan penyertaan 11,000 usahawan melalui 841 kursus dijalankan seluruh negara. Setiap program mengambil masa antara tiga dan empat bulan dan ia dijalankan secara percuma.
Namun, peserta perlu menjalani sesi pemilihan terlebih dahulu dan menandatangani akujanji bagi membuktikan komitmen mereka sepanjang program dijalankan. Antara program yang dijalankan adalah untuk pengusaha inap desa, spa, trak makanan, penjagaan selepas bersalin, penjagaan kanak-kanak dan memasarkan produk di pasar raya besar.
0 comments:
Post a Comment