Ringgit ditutup rendah semalam pada 4.0020/0050 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kali pertama ia melepasi tahap 4.0 dalam tempoh lebih lima bulan. Seorang peniaga berkata, ia sejajar dengan mata wang negara Asia sedang membangun lain memandangkan sentimen agak lembap disebabkan kelemahan pasaran ekuiti.
Katanya, mata wang pasaran negara sedang membangun menerima kesan ekoran kebimbangan terhadap peningkatan perang perdagangan antara AS dan China yang memberi kesan kepada pasaran ekuiti dan merangsang daya tarikan aset selamat.
Kali terakhir mata wang tempatan itu ditutup pada tahap 4.0 adalah pada 10 Januari 2018 iaitu 4.0020/0070 berbanding dolar AS, manakala ia didagangkan pada 3.9960/9990 pada Isnin lalu.
Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, pergerakan mata wang tempatan semalam banyak dipengaruhi oleh faktor luaran seperti pengumuman pengenaan tarif import oleh AS terhadap China.
“Perkara ini menandakan risiko berlakunya perang dagangan semakin meningkat apabila China juga dilihat akan mengambil tindak balas terhadap tarif yang dikenakan AS itu.
“Umum mengetahui bahawa perdagangan antarabangsa adalah elemen terpenting dalam pertumbuhan ekonomi global dan risiko pergeseran perdagangan antara AS dan China, sekiranya terus berlaku, dijangka akan memberi kesan negatif kepada momentum pertumbuhan ekonomi global,” katanya ketika dihubungi semalam.
Afzanizam menambah, dalam keadaan semasa, permintaan terhadap mata wang Safe Haven seperti dolar AS dan yen Jepun akan meningkat dan ini akan menjejaskan nilai mata wang asing yang lain termasuk ringgit.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menjangka ringgit akan berada antara paras rintangan iaitu RM4.0265 dan paras sokongan RM3.9597 berbanding dolar AS. Sementara itu, Ketua Pedagang OANDA di Asia Pasifik, Stephen Innes berkata kepada Bernama, sentimen serantau adalah berisiko besar dan pasaran saham tempatan merosot berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan global.
Katanya, walaupun yuan China juga mencecah tahap rendah lima bulan pada 6.48 berbanding dolar AS, ringgit pula hanya mengalami sedikit kelemahan, lebih 4.00 berbanding dolar AS di sebalik ketidaktentuan terhadap defisit fiskal. “Ringgit terlindung dengan baik daripada kejutan dagangan luaran berbanding mata wang serantau.
“Bagaimanapun, ia harus terus diperdagangkan dengan kecenderungan negatif memandangkan sentimen serantau terus berkurang,” katanya. Innes menambah, mata wang tempatan lemah secara dramatik berikutan aliran keluar selepas pilihan raya umum, justeru ia tidak mengalami kesan daripada risiko dolar yang pendek berbanding beberapa mata wang serantau lain.
Tambahnya, ini antaranya menjelaskan sebab ringgit secara relatif disokong dengan baik semalam, ia adalah respons kepada perkara-perkara negatif serantau.
0 comments:
Post a Comment