Jack Wilshere mengumumkan dia akan meninggalkan Arsenal sebaik kontraknya di Emirates tamat pada akhir bulan ini. Berita mengejutkan itu disampaikan perancang tengah berusia 26 tahun itu menerusi akaun Instagram semalam sebelum berkongsi video pendek sepanjang kariernya di kelab.
Wilshere mendedahkan dia menerima potongan gaji tetapi memilih berhijrah selepas Unai Emery mengesahkan tidak boleh memberi jaminan kesebelasan utama buatnya. Crystal Palace dan West Ham muncul antara kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menunjukkan minat mendapatkannya.
Dalam kenyataan di Instagram miliknya, Wilshere menulis: "Saya mengesahkan akan meninggalkan Arsenal FC apabila kontrak saya berakhir akhir bulan ini. Selepas mengadakan beberapa perbincangan dengan semua orang di kelab dan terbaru bersama pengurus baharu Unai Emery, saya berasakan tiada pilihan tetapi terpaksa membuat keputusan terbaik demi karier saya."
Dia yang tidak terpilih ke Piala Dunia 2018 menambah sedia menerima potongan gaji untuk kekal di utara London itu, tetapi mengakui minit permainan lebih menjadi keutamaannya. "Saya pasti semua orang amat memahami sebaik tiba ke tahap ini saya perlukan aksi bola sepak utama dan susulan perbincangan dengan Emery saya merasakan sukar untuk saya mendapat peluang itu lagi di Arsenal."
Wilshere sudah bersama The Gunners selama 17 tahun tetapi bergelut dengan pelbagai masalah kecederaan yang menyekat bakatnya untuk terus berkembang menjadi pemain tengah utama bertaraf dunia.
0 comments:
Post a Comment