Pasaran dan pelabur terus menerima kejutan minggu lalu dengan pengumuman penting termasuk projek kontroversi Tun Razak Exchange (TRX) serta pengesahan jangkaan pasaran yang seorang wanita akan dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia.
Hakikatnya pasaran saham dan ringgit belum lagi reda daripada ketidaktentuan yang disebabkan oleh pendedahan mengenai hutang negara dan keadaan ekonomi sebelum ini.
Bagaimanapun, Penganalisis Penyelidikan Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF), Adam Mohamed Rahim berkata, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang terhadap penjualan berterusan oleh pelabur asing kerana ia juga berlaku di negara lain di Asia.
Ujarnya, Korea dan Taiwan turut menyaksikan aliran keluar bersih dana yang lebih tinggi, masing-masing AS$418 juta (RM1.7 bilion) dan AS$1.27 bilion (RM5.1 bilion) dalam empat hari pertama minggu lalu berbanding AS$360.2 juta (kira-kira RM1.44 bilion) di Malaysia.
“Aliran keluar dana mungkin berlaku dalam jangka terdekat tetapi perlu diingatkan bahawa pencetus utama adalah perkembangan luaran seperti geopolitik di Semenanjung Korea dan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Adam berkata, penjualan asing ekuiti Malaysia lebih tinggi daripada minggu sebelumnya iaitu RM1.21 bilion dan berada pada puncaknya pada Selasa (19 Jun) pada RM555 juta bersih, tertinggi dalam sehari sejak 30 Mei 2018.
Walaupun pengurangan secara beransur-ansur, jelasnya, barometer pasaran FBM KLCl bergerak ke arah yang bertentangan untuk menjunam ke penutup terendah sejak Februari 2017 pada 1,692 mata pada Khamis lalu.
Ia menandakan kerugian hari kesembilan berturut-turut apabila Telekom Malaysia Bhd. mengetuai kaunter rugi dengan merosot sebanyak 12 peratus di tengah-tengah kebimbangan berikutan penurunan harga jalur lebar.
“Bagaimanapun, dari segi penyertaan pelabur Isnin hingga Khamis, dana asing kekal aktif kerana nilai dagangan harian purata asing berada lebih RM1 bilion pada RM1.55 bilion.
“Kami menganggap aliran keluar akan lebih tinggi minggu ini berbanding minggu lepas kerana pelabur tidak hanya bimbang mengenai ketidakpastian perdagangan antara AS dan China tetapi juga hasil mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum pada 22 Jun lalu,” jelasnya.
Menurut Adam, trend aliran keluar dana mungkin muncul dalam tempoh jangka pendek hingga panjang berikutan kebimbangan mengenai kemelesetan yang melanda AS dalam satu atau dua tahun akan datang, ditambah dengan penilaian tinggi pasaran maju dan sikap agresif serta pendirian mereka terhadap dasar perlindungan perdagangan.
Ujarnya, MIDF menjangkakan pasaran saham menjadi agak tenang dalam beberapa bulan akan datang kerana nilai dagangan telah mencecah rekod tertinggi dua kali pada Mei iaitu RM7.3 bilion pada 14 Mei dan RM9.3 bilion pada 31 Mei lepas.
0 comments:
Post a Comment