Sepasang kekasih warga Perancis dipenjara seumur hidup kerana menyeksa pengasuh mereka sehingga mati sebelum membakar mayatnya di halaman belakang rumah mereka di London, September lalu.
Sabrina Kouider dan teman lelakinya Ouissem Medouni membunuh Sophie Lionnet yang juga rakyat Perancis semata-mata menyangka mangsa menyalurkan maklumat mengenai mereka kepada bekas kekasih Sabrina, penyanyi Mark Walton yang pernah menganggotai kumpulan popular Boyzone.
Kerana begitu percayakan delusinya dan taasub dengan Walton, Sabrina serta Medouni menyeksa Sophie, 21, berulang kali sedangkan mangsa tidak pernah menemui bintang pop itu. Klip video dirakam beberapa hari sebelum kematiannya dalam tab mandi ketika ‘sesi soal siasat’ pada September lalu menunjukkan Sophie lemah dan kurus kering.
Sabrina dan Medouni yang saling menuding jari bagi kematian Sophie, masing-masing dipenjara sekurang-kurangnya 30 tahun semalam selepas didapati bersalah oleh juri.
Mahkamah sebelum ini diberitahu, Sophie dimaki hamun dan ditampar berulang kali, selain dipukul menggunakan kabel elektrik sehingga menyebabkan rusuk dan tulang dadanya retak. Selepas kematian Sophie, pasangan itu cuba membakar mayatnya, malah membuat barbeku untuk menutup bau daging terbakar yang didakwa kambing.
0 comments:
Post a Comment