Projek KLIA Aeropolis dan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) Park tidak akan dihentikan, malah akan diteruskan mengikut jadual asal. Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Badlisham Ghazali berkata, tiada arahan atau pengumuman kerajaan untuk mengubah atau memansuhkan projek berkenaan.
“Saya sudah memberi taklimat kepada Menteri Pengangkutan yang projek ini membabitkan MAHB dan Alibaba. Pembabitan kerajaan dalam projek ini agak kecil,” katanya kepada media selepas taklimat bersama Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, di sini, semalam.
Menyasarkan perniagaan kecil dan sederhana, DFTZ dilancarkan pada November tahun lalu dan dijangka menjadi hab logistik serantau. Ia dijadual memulakan operasi pada 2020. Malaysia dipilih bagi menempatkan DFTZ kerana kedudukannya sebagai hab penting bagi Jalan Sutera Maritim serta usaha agresif negara untuk membangunkan ekonomi digital.
Sementara itu, mengenai KLIA Aeropolis, Badlisham berkata, pembangunan masih dijalankan dengan beberapa komitmen telah dibuat. “Kami telah membuat komitmen sama ada untuk sebuah taman outlet, pusat beli-belah, gudang logistik, atau lain-lain yang dilakukan untuk Lapangan Terbang Subang bagi menarik lebih ramai pelabur.
“Ini akan diteruskan seperti biasa kerana kita tahu apa yang pasaran inginkan. Kami sudah mempunyai pelanggan untuk apa yang dirancang dan diharap akan menandatangani lebih banyak perjanjian apabila kami pergi ke Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough pada Julai,” katanya.
KLIA Aeropolis, hab logistik udara yang telah dimasukkan ke dalam DFTZ akan dibina di atas tapak seluas 404.7 hektar di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dilancarkan pada 2016.
0 comments:
Post a Comment