Tiga saudara melibatkan dua beradik dan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dibawa arus ketika mandi di Nanga Ulin, Sungai Poi petang semalam.
Dalam kejadian pukul 3 petang itu, Presley Tataw, 27, bersama saudaranya, Rederict Benediet Rody, 12, sedang bermandi-manda di sungai hadapan rumah panjang sebelum tiba-tiba dihanyutkan arus deras.
Seorang lagi mangsa, Henry Tataw, 28, yang ternampak kejadian itu cuba menyelamatkan mereka namun turut dihanyutkan arus deras. Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini pada pukul 5.37 petang.
"Bomba kemudiannya bergerak ke lokasi kejadian namun perjalanan hanya sampai ke Rumah Panjang Menalun susulan cuaca buruk.
"Anggota operasi seterusnya bergerak menggunakan bot panjang milik orang kampung untuk sampai ke Nanga Ulin yang mengambil masa kira-kira dua jam dari situ" katanya dalam kenyataan akhbar sebentar tadi. Agensi terlibat dalam operasi itu termasuk anggota polis dari IPD Kanowit.
0 comments:
Post a Comment