Sebut sahaja skuter, pasti ramai terbayang kenderaan dua roda berbentuk agak membulat dengan kelajuan yang tidak seberapa. Ternyata skuter masih belum mendapat tempat di hati penunggang tempatan berbanding negara jiran di Indonesia dan Thailand di mana pasaran skuter mereka jauh lebih tinggi berbanding moped.
Namun, sedikit demi sedikit, pengeluar motosikal dunia mula menghasilkan skuter yang bukan sahaja lebih berkuasa berbanding moped, malah bentuknya juga tidak lagi membulat, malahan lebih futuristik. Terbaru, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) membawa masuk model skuter berkuasa 250cc dikenali sebagai XMAX.
Penulis berpeluang menunggang uji model skuter terbaru ini dalam tempoh masa yang terhad berikutan menjadi rebutan media lain untuk diuji.
Secara amnya, penulis memang meminati skuter berbanding moped kerana pelbagai faktor antaranya enjin lebih senyap, ruang barangan dan meletak kaki yang luas, daya tunggangan lebih santai selain transmisi automatiknya tidak merosakkan kasut penulis ketika memasukkan gear.
Namun, faktor kelajuan skuter yang agak mengecewakan menyebabkan penulis tidak mempunyai pilihan selain menjadikan kapcai sebagai kenderaan tunggangan ke tempat kerja. Namun, sebaik melihat kepada XMAX, perasaan untuk menunggang skuter kembali memuncak.
Ini kerana apa yang ada pada model maxi Yamaha terbaru dianggap sempurna sebagai skuter berkuasa. XMAX dijana enjin 250cc empat lejang silinder tunggal SOHC empat injap sejukan cecair yang menawarkan kuasa 16.8 kW pada 7,000rpm manakala kuasa tork maksimum 24.3 Nm pada 5,500rpm.
Nadi skuter ini daripada teknologi Blue Core suntikan bahan api, kejuruteraan sama digunakan pada jentera Yamaha dalam perlumbaan Moto GP. Enjin kompak sangat ringan tetapi berkuasa dan menepati piawaian emisi EU4 selain mesra alam.
Untuk menghidupkannya, sistem kunci pintar berpusat membolehkan penghidup, tangki bahan api dan pelana dikawal melalui satu butang, sama seperti model NVX155. Pada mulanya, penulis berasa agak kekok ketika memulas butang kawalan kerana banyaknya fungsi yang diletakkan pada satu tempat.
Namun selepas beberapa hari, keadaan menjadi lebih mudah apabila penulis tidak perlu lagi menggunakan kunci untuk membuka pelana atau tangki bahan api, cukup sekadar kunci pintar berada bersama.
Sebaik butang kunci dipulas, terpampang dua meter gergasi LCD berwarna putih dengan berlatar belakang warna hitam memaparkan tolok kelajuan dan rpm manakala paparan pelbagai maklumat (MID) pada bahagian tengah memastikan penunggang mengetahui kondisi motosikal.
Dua ruang konsol di bawah pemegang mampu memuatkan barangan peribadi termasuk salah satunya didatangkan bersama soket kuasa membolehkan penunggang mengecas sebarang gajet elektronik seperti telefon pintar atau GPS.
Lampu hadapan LED dengan nyalaan siang (DRL) menampakkan gaya yang garang manakala dua perumah lampu belakang LED memastikan kehadirannya di jalan raya mudah dilihat. Sebaik pendikit dipulas, ternyata kuasa dihamburkan sangat responsif dan mengujakan.
Walaupun bersaiz agak bersar berbanding ‘adiknya’ NMAX, tiada sebarang kekurangan dirasakan ketika memecut di lebuh raya kecuali sedikit keluhan apabila menyelinap antara kenderaan ketika waktu puncak.
Sistem suspensi hadapan Teleskopik dan Unit Swing di belakang beroperasi dengan baik walaupun terasa sedikit keras ketika menyerap segala hentakan di jalan raya. Ketika laluan lengang di lebuh raya, penulis mampu memacu skuter ini sehingga ke kelajuan melebihi 160 kilometer sejam (km/j) tanpa sebarang gegaran yang mengganggu.
Malah, penulis juga tidak terasa sebarang tujahan angin ketika pendikit dipulas habis disebabkan penghadang angin boleh laras memastikan faktor aerodinamik kekal lancar.
Dari segi keselamatan pula, XMAX dilengkapi brek cakera pada kedua-dua roda dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Sistem Kawalan Daya Tarikan (TCS) yang memastikan jentera kekal stabil ketika mengharungi situasi tidak dijangka.
Apabila tiba ke destinasi, tidak perlu mencari tempat menyimpat topi keledar apabila ruang bagasi di bawah pelana mampu memuatkan dua topi keledar dengan mudah. Secara keseluruhannya, Yamaha XMAX menepati sebuah jentera harian, malah boleh dikerah untuk perjalanan jauh pada bila-bila masa tanpa sebarang masalah.
Berharga RM21,225 seunit (tanpa insurans), dua pilihan warna ditawarkan iaitu Putih Metalik dan Rusty Bronze.
0 comments:
Post a Comment