Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dan pil ekstasi dalam satu serbuan di MJC, Apartmen Courtyard Sanctuary, Batu Kawa di sini semalam.
Suspek berusia 26 tahun itu dicekup oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak kira-kira pukul 11.30 pagi. Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Sahar Abd. Latif berkata, serbuan dan tangkapan itu dilakukan hasil maklumat dan risikan yang dibuat sebelum ini.
Katanya, hasil pemeriksaan di apartmen tersebut, polis telah menemui dadah jenis syabu seberat 535 gram dan 4,980 biji pil ekstasi yang seberat 1,450 gram. "Anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah tersebut berjumlah RM257,025 iaitu RM80,250 (syabu) dan RM249,000 (pil ekstasi).
"Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM4,037 disyaki hasil kegiatan jenayah itu daripada suspek," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Sahar memberitahu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios dengan anggaran nilai semasa RM60,000 daripada suspek. Ujarnya, sebentuk cincin emas dengan anggaran nilai RM4,194 dan sepasang anting-anting dengan nilai RM1,362 juga dirampas.
"Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine. "Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama," jelasnya.
0 comments:
Post a Comment