LELAKI warga Indonesia yang dilaporkan hilang ketika menyeberangi Sungai Kampung Kaiduan di Papar, Isnin lalu, ditemui lemas, petang semalam.
Mayat Agustinus Tino Koten, 25, dijumpai oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk di Kampung Molonsi Kaiduan pada 4.15 petang. Mangsa ditemui kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Janil Jaya berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke tebing sungai oleh anggota penyelamat dengan bantuan penduduk kampung. "Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,'' katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang Isnin lalu, Agustinus dikatakan berenang menyeberangi sungai ketika arus deras walaupun dinasihati oleh rakannya untuk tidak berbuat demikian. Berikutan itu, mangsa dihanyutkan arus sebelum hilang.
Sebaik menerima laporan dari rakan mangsa, pihak berkuasa menggerakkan operasi mencari dan menyelamat.
0 comments:
Post a Comment