Tidak dapat dinafikan, sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, banyak perkara baru dilakukan oleh mereka dan boleh dikatakan secara majoritinya, lebih banyak menekan rakyat dari membantu rakyat. Ada sahaja perkhabaran kurang enak di war-warkan melalui media yang kini dikuasai sepenuhnya oleh mereka sehingga ianya menimbulkan kebimbangan rakyat.
Baru beberapa hari mengambil alih tampuk pemerintahan, kira-kira lebih 17 ribu orang penjawat awam melalui kontrak mahupun lantikan politik, telah kehilangan punca pendapatan mereka akibat di pecat serta merta. Nasib yang sama turut menimpa kira-kira 3,500 orang guru KAFA dan beberap agensi yang lain disaat pada ketika itu, kesemua mereka sedang menjalani ibadah puasa.
Beberapa hari yang lalu, pembantu guru turut menerima nasib yang sama. Tidak terhenti setakat itu, projek HSR, ECRL, MRT3 juga sedang terancam dan mungkin akan dibatalkan pembinaannya kerana sehingga kini, hanya MRT3 sahaja yang sudah sah tidak di bina manakala 2 lagi projek masih tergantung statusnya.
Terbaru, elaun para nelayan yang selama ini dinikmati oleh golongan pekerja berkenaan juga bagai lenyap. Ini kerana, menerusi pengumuman terbaru yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pemberian elaun berkenaan disifatkan beliau sebagai satu pembaziran wang negara.
Menariknya, dalam satu pengumuman berlainan, kerajaan Pakatan Harapan telah berjaya memungut lebih RM 90 juta menerusi Tabung Harapan Selamatkan Malaysia. Di sinilah munculnya sesuatu yang sukar untuk di fahami. Memberi peruntukan kepada golongan nelayan yang majoritinya adalah di kalangan penduduk yang berpendapatan tetap dan dari kaum Melayu dianggap membazir.
Sebaliknya, kerajaan sewenang-wenangnya mengeluarkan belanja RM 30 juta hanya untuk membawa siaran langsung Piala Dunia Russia 2018 menerusi RTM. Apa perlunya pertandingan empat tahun sekali yang langsung tidak membabitkan pasukan negara kepada kelompok nelayan sedangkan mereka terpaksa menelan hakikat, elaun yang mereka terima bakal lenyap begitu sahaja?
Melihat kepada perkembangan semasa ini, tidak mustahil sekiranya di masa akan datang, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) juga bakal lenyap begitu sahaja. Malah, besar kemungkinan, beberapa elaun lain juga bakal hilang hanya dengan alasan, untuk mengelakkan pembaziran.
Adakah memberikan sesuatu daripada kerajaan kepada rakyat merupakan satu pembaziran? Bukankah wang yang diperuntukkan secara langsung kepada rakyat ini akan kembali semula ke kantung kerajaan menerusi perbelanjaan yang dibuat oleh rakyat? Kenapa perlu menyekat hak yang sepatutnya diterima oleh rakyat kononnya mahu mengelakkan pembaziran?
Sudahlah 10 janji dalam tempoh 100 hari tidak dilaksanakan sepenuhnya. Kini, rakyat terpaksa berhadapan dengan kenaikan menggila harga barangan di pasaran tempatan dengan beberapa peruntukan terus daripada kerajaan juga bakal hilang begitu sahaja. Kemana perginya laungan mahu menjaga kebajikan rakyat sebaik sahaja memenangi PRU ke 14?
0 comments:
Post a Comment