Badi 'sumpahan juara bertahan' Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia berlaku lagi dan kini giliran Jerman pula menjadi mangsa apabila gagal mara ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas dikejutkan 0-2 oleh pasukan pengacau, Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan F di Kazan Arena, Kazan, Rusia malam tadi.
Ini kali pertama Jerman gagal melepasi peringkat kumpulan dalam sejarah 19 penyertaan mereka dalam kempen Piala Dunia. Juara 2014 itu perlu mencatat kemenangan pada aksi terakhir ini sambil berharap Mexico yang mendahului kumpulan dengan enam mata menewaskan pencabar terdekat, Sweden yang turut memerlukan kemenangan.
Namun, skuad kendalian Joachim Loew itu perlu menyalahkan diri mereka sendiri apabila sekali lagi menampilkan aksi buruk dengan gagal menghadirkan walau satu jaringan, sebaliknya Korea Selatan pula menghukum mereka menerusi dua jaringan lewat Kim Young-gwon dan Son Heung-min pada minit kecederaan.
Sweden pula berjaya mengambil kesempatan ini dengan mengejutkan Mexico 3-0, sekali gus merampas slot ke pusingan kalah mati sebagai juara kumpulan manakala Mexico di tangga kedua dengan mata yang sama.
Bagi Korea Selatan yang tewas dua perlawanan sebelum ini, kemenangan ke atas pasukan pilihan ini menyaksikan mereka melonjak ke tangga ketiga, sekali gus memaksa Jerman pulang awal dengan menduduki tangga terakhir kumpulan selepas mencatat satu kemenangan, pencapaian terburuk mereka sejak 1938.
Skuad Die Mannschaft itu memulakan kempen di Rusia ini dengan aksi terburuk mereka selepas tumpas 0-1 kepada Mexico namun kemenangan 2-1 ke atas Sweden hasil jaringan Toni Kroos pada minit akhir perlawanan kedua mencerahkan semula peluang mereka mara ke pusingan kalah mati.
Namun mereka sekali lagi gagal beraksi pada tahap sebenar dengan gagal menterjemahkan gol meskipun membuat beberapa percubaan berbahaya menerusi penyerang Timo Werner dan perancang Real Madrid, Kroos.
Sebaliknya Korea Selatan pula berjaya menghukum mereka dengan dua gol pada lewat babak kedua, sekali gus meranapkan impian Jerman untuk mara.
Keputusan itu menyaksikan juara dunia empat kali itu mengulangi episod yang sama berlaku ke atas bekas juara-juara bertahan sebelum ini, juara 1998 Perancis yang tersingkir pada edisi 2002, juara 2006 Itali (2010) dan juara 2010 Sepanyol (2014) selepas masing-masing pulang awal dengan gagal melepasi peringkat kumpulan.
Hanya Brazil yang menjuara edisi 2002 berjaya mengelak daripada sumpahan ini dengan melepasi peringkat kumpulan, namun gagal di suku akhir pada edisi 2006.
0 comments:
Post a Comment