Malang menimpa seorang lelaki apabila dia maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 103, Jalan Sibu-Bintulu dekat sini petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 6.38 petang itu, menyebabkan mangsa, Imban Mangat, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit dan mengalami kecederaan parah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke Bintulu dari Selangau.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan gagal mengawal keretanya lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori. "Impak pertembungan kuat itu mengakibatkan bahagian depan kereta mangsa remuk dan dia tersepit di tempat duduk pemandu.
"Pemandu lori yang berusia 41 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Mukah untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini. Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan itu.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya lagi.
0 comments:
Post a Comment