PENERBIT filem, Gayatri Su-Lin Pillai menepis khabar angin dirinya dikatakan bercuti bersama pelakon Zul Ariffin di Pulau Bali, Indonesia, baru-baru ini. Menurut Gayatri, 44, cerita tersebar dan heboh diperkatakan ramai itu juga tidak benar.
“Dakwaan itu tidak benar sama sekali,” katanya. Namun, kata Gayatri, hubungannya dengan pelakon filem J Revolusi itu memang rapat dan berkawan baik sampai sekarang. “Hubungan saya dan ahli keluarga Zul juga rapat terutama ibu dan kakaknya.
“Malah, saya turut berkunjung ke rumah keluarganya sempena sambutan raya baru-baru ini,” katanya. Gayatri ditemui pada majlis pelancaran filem Hantu Kak Limah (HKL) arahan Mamat Khalid yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur, hari ini.
Diminta mengulas soal jodoh, kata penerbit filem HKL itu, dia menyerahkannya kepada Tuhan. “Orang akan terus bertanya mengenai perkara ini dan saya hanya serahkan soal jodoh kepada ketentuan Tuhan,” katanya.
Pada masa sama, Gayatri turut menafikan Zul adalah anak emas produksinya itu. “Filem HKL adalah terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold. Penampilan Zul adalah untuk menampilkan wajah baru untuk memantapkan lagi ilem itu. Walaupun watak pembantu, watak Zul sebagai bomoh tidak kurang pentingnya dalam filem HKL,” katanya.
0 comments:
Post a Comment