Kedah tidak boleh berpuas hati dengan kemenangan ke atas Kuala Lumpur pada saingan Liga Super sebaliknya perlu terus memperbaiki kelemahan yang masih membelenggu pasukan, kata Pengurus pasukan, Syed Khairol Anuar Syed Abidin.
Beliau berkata, antara yang boleh dilakukan adalah menukar formasi atau rentak permainan agar setiap pergerakan pemain tidak mudah dihidu oleh pihak lawan.
"Apa pun saya ucapkan terima kasih kepada pemain yang bersungguh-sungguh bermain sehingga mendapat tiga mata berharga untuk berada di kelompok atas liga," katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi di Stadium Darul Aman di sini yang menyaksikan Kedah menang 3-2 ke atas Kuala Lumpur.
Syed Khairol Anuar berkata, anak buah ketua jurulatih, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff itu juga perlu bijak mengatasi kelemahan yang ada dan tidak membiarkan pasukan pelawat membuat serangan hingga boleh menjaringkan gol.
"Formasi kena berubah di minit 60 hingga 70 jika kita sedar ada kelemahan untuk mencorakkan semula permainan dengan lebih lancar dan teratur," katanya.
0 comments:
Post a Comment