My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 21 June 2018

    Ini Bukan Lagi Siasatan Kes Mega...



    Sudah termaktub di dalam manifesto Pakatan Harapan bahawa seandainya mereka berjaya menawan Putrajaya, antara perkara utama yang akan dilakukan oleh mereka adalah menyiasat pelbagai kes mega yang kononnya berlaku sepanjang pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang diketuai oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

    Bagi mereka yang kurang pasti, janji berkenaan terkandung di dalam 10 janji 100 hari yang menjadi buah mulut ramai rakyat Malaysia hari ini. Selain daripada janji untuk menyiasat kes mega berkenaan, janji untuk memansuhkan hutang PTPTN, menurunkan harga minyak, memansuhkan GST, menghapuskan hutang warga Felda antara perkara utama yang terkandung di dalam janji berkenaan.

    Sebaik sahaja mereka menguasai Putrajaya, nampaknya mereka begitu bersungguh-sungguh mahu menunaikan janji untuk menyiasat segala kes mega terutamanya sekali kes melibatkan 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan isu derma RM 2.6 bilion. Mereka seperti terus melupakan janji-janji mereka yang lain hanya semata-mata mahu menumpukan perhatian terhadap kes-kes ini.

    Agak melucukan sebenarnya apabila sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 berlangsung, sepanjang kempen mereka, mereka kelihatan cukup yakin mempunyai bukti yang kukuh untuk mendakwa Datuk Seri Mohd Najib. Namun, setelah memperolehi kuasa, sehingga hari ini, belum ada walau satu bukti pun mampu mereka ketengahkan.

    Dalam beberapa temubual dengan media asing termasuk media tempatan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu, bukan mudah buat kerajaan mahu menjalankan pendakwaan terhadap Datuk Seri Mohd Najib kerana kerajaan dan pasukan penyiasat sendiri sedang bertungkus lumus mengumpulkan bukti.

    Jika dinilai dari kenyataan ini, nampaknya, kerajaan hari ini masih belum mempunyai bukti kukuh bagi menyokong dakwaan mereka terhadap Datuk Seri Mohd Najib. Malah, lebih daripada itu, Pakatan Harapan sendiri nampaknya secara tidak langsung telah mendedahkan bahawa segala dakwaan mereka sebelum ini adalah fitnah semata-mata.

    Dengan deretan serbuan kekediaman Datuk Seri Mohd Najib, lapan peti besi di buka, deretan rampasan kononnya ada hubung kait dengan 1MDB, serbuan kerumah kuaters kerajaan kononnya disewa oleh Datuk Seri Mohd Najib, dua kali dipanggil ke pejabat SPRM, nampaknya, kerajaan Pakatan Harapan tetap gagal menemui apa jua bukti bagi membolehkan mereka mendakwa beliau.

    Mungkin, bagi penyokong Pakatan Harapan, ianya satu tindakan yang perlu dilakukan demi menyelamatkan wang negara. Namun, andai masih mampu berfikir secara matang dan memahami prosidur siasatan, ianya tidak lebih dari sekadar misi membalas dendam dan hasrat untuk menjahanamkan Barisan Nasional, UMNO dan Datuk Seri Mohd Najib itu sendiri.

    Manakan tidak, andai dikira dari apa yang Pakatan Harapan dakwa kononnya mempunyai bukti, sepatutnya sekarang, Datuk Seri Mohd Najib sudah pun di dakwa ke mahkamah, bukannya memberi deretan kenyataan media serta memberitahu seluruh rakyat Malaysia bahawa mereka sedang mengumpul segala bukti.

    Lebih menghairankan, sebelum ini, Datuk Seri Mohd Najib telah di panggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebanyak dua kali sebelum SPRM sendiri memberitahu, tidak mempunyai sebarang bukti kukuh untuk menjalankan siasatan. Kemudian, beliau disiasat di bawah Akta Penggubahan Wang Haram (AMLA), juga kes berkenaan tidak lekat.

    Terbaru, beliau di siasat menerusi penyelewengan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Bukankah ianya satu perkara yang cukup menghairankan? Kemana perginya dakwaan kononnya Pakatan Harapan mempunyai cukup bukti untuk mengheret beliau ke mahkamah semasa kempen Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu?

    Nampaknya, ini bukan lagi berkisar kepada siasatan kes mega. Ini lebih kepada menghancurkan Barisan Nasional dan UMNO disamping menghancurkan reputasi Datuk Seri Mohd Najib di dalam arena politik negara. Malah, ini bukan lagi siasatan telus terhadap 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan derma RM 2.6 bilion. Ianya lebih kepada misi membalas dendam.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ini Bukan Lagi Siasatan Kes Mega... Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top