Pada edisi 2014, pemain Colombia, James Rodriguez pulang sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia dengan hanya meledak enam gol namun jumlah itu dijangka diatasi di Russia.
Beberapa penyerang terbaik dunia seperti Harry Kane, Cristiano Ronaldo dan Romelu Lukaku berada pada tahap terbaik dan meledak jaringan untuk pasukan masing-masing ketika saingan baru memasuki aksi peringkat kumpulan.
Kane berada di landasan tepat menjadi pemain England pertama memenangi Kasut Emas sejak Gary Lineker pada 1986, selepas menjaringkan hatrik ketika menentang Panama malam tadi membolehkan dia mengumpul lima gol setakat ini.
Penyerang Tottenham itu meledak dua jaringan menerusi sepakan penalti pada separuh masa pertama sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-62. Dia turut menjaringkan dua gol ketika menewaskan Tunisia 2-1 pada aksi pembukaan Kumpulan G. Ia membolehkan Kane mengatasi penyerang Portugal, Ronaldo dan bintang Belgium Lukaku, yang terikat empat gol.
Ronaldo meledak hatrik ketika aksi menentang Sepanyol disusuli satu lagi gol menentang Maghribi. Lukaku meledak dua gol dalam setiap perlawanan untuk Belgium, kali pertama berlaku dalam tempoh 32 tahun sebelum Kane mengulanginya 24 jam selepas itu.
0 comments:
Post a Comment