Dua penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Simpang Ranggau, Jalan Airport di sini malam tadi. Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, dua mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Mohammad Azlan Abdul Hamid, 18, dan Harreild Hellvian Hary, 16.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, Mohammad Azlan dikatakan sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Limbang dari arah pusat bandar di sini.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, remaja lelaki yang menunggang motosikal Yamaha 125 Z itu kemudian melanggar motosikal Yamaha LC 135 ditunggangi Harreild yang dikatakan secara tiba-tiba keluar dari simpang.
"Impak perlanggaran itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak dari motosikal masing-masing dan mengalami kecederaan parah. Kedua-dua remaja lelaki yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan mereka disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Limbang," katanya ketika dihubungi hari ini.
Alexson menambah, siasatan lanjut di lokasi kemalangan mendapati kedua-dua motosikal mangsa rosak teruk. Katanya, tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas tersebut. "Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment