My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 22 June 2018

    Hotel Artemis 'Hospital' Penjenayah



    Walaupun berlatarkan dunia pada masa depan, Hotel Artemis bukan filem sains fiksyen, sebaliknya mengetengahkan aktiviti jenayah. Filem arahan Drew Pearce ini mengisahkan sebuah hotel yang sebenarnya menjadi ‘hospital’ penjenayah tercedera untuk mendapatkan rawatan. 

    Sebaik menjejak kaki ke dalam hotel terbabit, penjenayah dikehendaki mengikuti beberapa peraturan selain membuat bayaran pendahuluan. Segala rawatan dikendalikan jururawat wanita bernama The Nurse bersama pembantunya, Everest menggunakan teknologi canggih.

    Bagi pelakon dan ahli gusti profesional, Dave Bautista yang sudah biasa membintangi filem aksi menganggap lakonannya sebagai Everest peluang baik untuk bekerjasama dengan Jodie Foster. Bautista dalam satu temu bual baru-baru ini mengakui antara sebab utama menerima watak itu kerana ingin beraksi di samping Foster yang berlakon sebagai The Nurse.

    “Ketika ejen memberitahu mengenai filem itu, saya sukar percaya Foster turut berlakon. Kemudian, barulah saya baca skrip dan berasakan plot cerita filem terbabit bagus dan segar. Cuma saya mahu buat beberapa perubahan pada karakter Everest,” katanya.

    Menurut Bautista, bekerja dengan Foster ibarat kembali semula ke kolej lakonan. “Peluang bergaul, minta tunjuk ajar dan melihat persembahan Foster bagai pembelajaran bagi saya. “Rasanya tahap persembahan lakonan saya dalam filem ini sudah bertambah baik,” katanya.

    Malah, bintang filem Guardians of the Galaxy ini juga mendapati tahap keyakinan dirinya meningkat. “Kini, saya boleh bangga kerana dapat berkongsi pentas bersama barisan pelakon terbaik di dunia dan rasa lakonan dalam filem ini berbaloi,” katanya.

    Menceritakan mengenai watak Everest pula, Bautista berkata, lelaki itu bukan saja pembantu jururawat tetapi juga melakukan beberapa pekerjaan lain seperti tukang dan pengawal peribadi. “Everest dan The Nurse rapat dan mereka boleh bergurau kasar tanpa rasa kecil hati. Hubungan mereka bagai ibu dan remaja, itu saja,” katanya.

    Sementara itu, walaupun sudah biasa dengan Los Angeles, Bautista mengakui agak terkejut apabila mendapati ada beberapa lokasi unik wujud di kawasan berkenaan ketika penggambaran. “Sudah berjuta kali saya melalui kawasan sekitar Downtown Los Angeles dan tidak pernah menyedari lokasi berkenaan nampak menarik di skrin.

    “Selalunya saya ke sana untuk acara tinju. Bagaimanapun, kawasan berkenaan sudah banyak berubah,” katanya. Sekiranya diberi peluang untuk membuka hotel sendiri, Bautista memberitahu mahu menghiaskan tempat penginapan itu seperti rumahnya.

    “Saya suka kediaman saya kerana dimeriahkan dengan kehadiran anjing peliharaan, sangat selesa dan tidak terlampau besar,” katanya.

    Penggambaran filem ini hanya dilakukan di sekitar Los Angeles dan babak awal bermula pada Jun tahun lalu di sebuah bank di South Spring Street. Pelakon lain yang beraksi dalam Hotel Artemis ialah Sofia Boutella, Sterling K Brown, Charlie Day dan Jeff Goldblum. Hotel Artemis bakal menemui penonton ada 5 Julai ini di pawagam seluruh negara.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Hotel Artemis 'Hospital' Penjenayah Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top