Bagi mereka yang pernah menonton karya Wes Anderson seperti Fantastic Mr Fox pasti dapat mengagak karya ‘stop-motion’ itu antara terbaik pernah dihasilkannya. Ramai meletak harapan tinggi pada karya itu kerana Anderson sudah membuktikan kebolehan bercerita melalui filem The Grand Budapest Hotel.
Jika anda lihat pada filmografi Anderson, pasti sedar bahawa setiap karyanya secara progresif lebih fokus, terperinci dan mempunyai identitinya tersendiri. Ia seolah-olah filem sentuhannya sudah mencapai kemuncak tersendiri dan ia ditonjolkan di dalam Isle Of Dogs.
Penceritaan filem ini berkisar seorang kanak-kanak lelaki bernama Atari yang mencari anjingnya yang hilang dengan bantuan sekumpulan anjing lain di Pulau Sampah di luar Bandar Megasaki. Dari segi pembikinan, Isle of Dogs memiliki segala bahasa filem.
Setiap karakter dibentuk dengan baik dan berkaitan antara satu sama lain walaupun majoriti watak adalah anjing. Dari segi teknikal, animasi ‘stop-motion’ dihasilkan dengan baik dan cara ia dikontrakan dengan imej Jepun sungguh memukau. Lagu runut bunyi juga menarik dan sangat membantu membangkitkan emosi dalam penceritaan.
Apa boleh diandaikan, Anderson banyak merujuk kepada sinema Jepun sebelum ini, terutama karya Akira Kurosawa yang dianggap mahaguru bahasa filem dunia. Hasilnya, filem ini mempunyai banyak ‘twist’ dan kejutan serta meninggalkan banyak pesanan dan tema menarik untuk difikirkan penonton.
Rumusannya, filem ini tidak akan mengecewakan kerana niatnya jelas pada setiap bingkai plot. Jika anda cintakan haiwan, budaya sinema Jepun, animasi ‘stop-motion’ dan bahasa filem secara umum, Isle of Dogs adalah pilihan terbaik setakat ini.
ISLE OF DOGS
• ARAHAN: Wes Anderson
• PELAKON: Bryan Cranston, Edward Norton, Bill Murray, Jeff Goldblum dan Kunichi Nomura
• GENRE: Animasi komedi
0 comments:
Post a Comment