My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 4 June 2018

    Degupan Jantung Kencang



    Jantung pantas berdegup, rasa sesak nafas selain mudah penat sehingga rasa mahu pitam antara simptom yang dialami penghidap hipertensi pulmonari (PHT) Shahirah Abd Razak apabila dia terlalu kerap berjalan atau ketika mendaki anak tangga. 

    Dia mula menyedari masalah berkenaan ketika usianya menjengah 18 tahun pada tahun pertama di universiti apabila terasa jantung yang pantas berdegup meskipun dia berjalan pada rentak biasa. Menyedari masalah itu, dia merujuk doktor dan dimaklumkan mempunyai gejala PHT berpunca daripada sejarah penyakit gangguan hormon hipertiroid yang pernah dihidapinya.

    Kata Shahirah, hidupnya melalui perubahan besar apabila perlu melalui pemeriksaan kesihatan berkala selain bergantung pada ubat tertentu bagi membolehkan dia menjalani kehidupan normal. Penghidap PHT sepertinya sering berdepan dilema khususnya membabitkan aspek psikologi dan sosial.

    Mereka tampak seperti orang normal tetapi banyak perkara yang tidak dapat dilakukan. “Selain tidak boleh terbabit dalam aktiviti lasak dan berat seperti larian mahupun bersukan, saya perlu mengawal pengambilan makanan tertentu antaranya air dan garam kerana boleh menjejaskan tahap kesihatan. 

    “Jika tidak dikawal atau tidak menuruti saranan doktor, ada kemungkinan berlaku masalah jantung dan paru-paru kronik. Sebaiknya pesakit PHT perlu didiagnosis awal bagi mengelak masalah menjadi serius,” katanya.

    Menurut Pakar Perunding Kardiovaskular Institut Jantung Negara, Dr Marhisham Che Mood, penyakit PHT sukar dikesan melainkan mereka mempunyai sejarah penyakit jantung atau paru-paru ketika lahir.

    “Bagi individu normal, penyakit ini amat sukar dikesan sehinggalah mereka didapati mengalami masalah pada jantung atau paru-paru. Biasanya apabila dikesan, ia sudah terlalu lewat untuk dibendung menerusi terapi atau pengambilan ubat.

    “Gejala PHT sukar difahami individu normal, biasanya mereka berjumpa doktor apabila mengalami serangan seperti sesak nafas atau sakit jantung. Tidak dinafikan, ada juga doktor yang terlepas pandang masalah PHT kerana menyifatkan ia gejala biasa akibat terlalu penat bekerja.

    “Jadi kami berharap lebih ramai memantau tahap kesihatan dari semasa ke semasa agar gejala PHT dapat disaring pada peringkat awal dan mereka tidak perlu melalui proses rawatan rumit seperti mendapat bekalan oksigen berterusan ataupun pembedahan jantung dan paru-paru pada kadar segera,” katanya.

    PHT merujuk pada tekanan darah tinggi dalam sistem jantung ke paru-paru yang menyebarkan darah segar (yang mengandungi oksigen) ke jantung serentak darah sudah digunakan (tidak mengandungi oksigen) kembali ke paru-paru.

    Ia berbeza dengan tekanan darah tinggi yang disebabkan saluran darah sempit sehingga menyebabkan tekanan pada jantung. PHT ialah tekanan darah dalam paru-paru menyebabkan jantung terbeban. Bagi kaedah merawat Pakar Kardiologi IJN, Dr Geeta Kandavello berkata, ia berbeza mengikut tahap dan keadaan pesakit.

    “Sebagai pakar perubatan mengendalikan PHT kami sentiasa mencari alternatif terbaik dalam meningkatkan kualiti hidup pesakit. Antaranya memberi peluang kepada akses ubat lebih baik seperti sildefil atau tadafil yang dilihat memberi impak lebih baik kepada pesakit.

    “Setakat ini ubat jenis ini mempunyai akses sangat terhad dan kami berharap kerajaan memberi kelonggaran kepada polisi membawa masuk ubat berkenaan agar dapat membantu pesakit PHT di Malaysia. Malah kami sudah ada pesakit yang menggunakan ubat terbabit dan terbukti kesan positif terhadap kualiti hidup mereka apabila dapat menjalani rutin seperti individu normal.

    “Kami berharap pesakit PHT di Malaysia tidak terus hidup dalam tahap kronik yang memerlukan mereka bergantung penuh pada tangki oksigen sekali gus menjejaskan kualiti hidup,” katanya.

    Gejala hipertensi pulmonari 

    Gejala awal termasuk: 

    • Sesak nafas ketika aktiviti rutin
    • Keletihan
    • Sakit dada
    • Denyutan jantung pantas seperti berlumba
    • Sakit di bahagian atas sebelah kanan abdomen
    • Kurang selera makan

    Gejala susulan: 

    • Merasa ringan, terutamanya ketika aktiviti fizikal
    • Pengsan
    • Bengkak di pergelangan kaki atau kaki
    • Bibir dan kulit pucat kebiru-biruan
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Degupan Jantung Kencang Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top