My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 7 June 2018

    Ikut Pesanan Spielberg



    Filem Jurassic World: The Fallen Kingdom boleh dianggap antara sekuel yang dinanti-nantikan peminat genre sains fiksyen sejak kisah haiwan prasejarah diperkenalkan secara umum di layar lebar. Pengarah filem ini, Juan Antonio Bayona yang kini sibuk mempromosikan filem itu berkongsi pendapat dan pengalamannya. 

    Bayona akui filem itu mengambil masa untuk dihasilkan iaitu kurang dua tahun. “Saya sedar ia akan ambil masa lama sebab kami ada jadual yang perlu diikuti. Sebaik mendapat tarikh tayangan, saya ada jadual yang sudah pun disusun.

    “Sebaik menerima skrip filem, perbualan pertama adalah bersama Colin Trevorrow,” katanya. Bayona berkata, Trevorrow teringatkan dirinya disebabkan filem The Orphanage yang pernah diarahkannya sebelum ini. Sutradara ini akui terkejut dan timbul rasa ingin tahu apabila Trevorrow mula bercerita mengenai sekuel itu.

    Daripada itu, Bayona mula jatuh cinta dengan idea itu terutama babak dua yang mempunyai kisah ala rumah berhantu. Pengarah asal Sepanyol ini turut berkongsi mengenai visual ala ‘gothic’ berserta skor muzik dan runut bunyi.

    “Ia rasa seperti sesuatu yang baru tetapi pada masa sama ia setia dengan apa yang kita pernah tonton sebelum ini. “Jika anda memikirkan Jurassic Park, ada satu set besar T-rex di tengah-tengah yang kemudian menjadi lebih klaustrofobia dan semakin padat pada bahagian dua.

    “Ada beberapa babak saspens apabila munculnya Velociraptors di dapur. Filem ini mempunyai struktur arkitek yang sama,” katanya.

    Bayona menjelaskan cabaran utama mereka adalah bagaimana mahu menukar jalan cerita filem itu menjadi sebuah dongeng moral kerana percaya Jurassic adalah cerita sebegitu.

    Katanya, peminat sentiasa bercakap mengenai hubungan manusia dengan sains dan pada masa sama menyalahkan manusia serta penyalahgunaan sains tetapi tidak pernah me­nyalahkan sains. Disebabkan sisi itu, dia sentiasa berfikir bahawa cerita dalam Jurassic adalah sebuah dongeng moral tetapi dalam kes ini ia bertukar kepada kisah dongeng semata-mata pada bahagian dua.

    “Kamu dapat lihat elemen kisah dongeng di sini, ada istana dengan puteri raja dan seekor naga. Saya sukakan idea ini dan jatuh cinta dengannya sebab ia sesuatu yang segar dan baru. “Semua mengharapkan akan ada lebih banyak elemen takut di dalam filem Jurassic tetapi pada masa sama mahu setia dengan apa yang dilihat di dalam saga terdahulu,” katanya.

    Salah satu perkara menarik mengenai Jurassic Park, semua idea terhasil daripada filem pertama lalu. Malah, Jurassic World sangat dekat dengan filem pertama sehinggakan ada berpendapat situasi itu mengekang pengarah untuk mencuba sesuatu yang baru.

    “Ya betul. Saya rasa sebaik sahaja kami melancarkan ‘spoiler’, ia sudah jadi satu kenyataan. Ia adalah cara memberitahu orang supaya lupakan kisah lalu sebab kami mahu menghadapi masa depan. Masa depan tidak seperti yang kita pernah lihat sebelum ini dan itulah yang membuatkan ia menarik. Saya sukakan cara Jurassic World 2 tamat dan harapnya penonton mahukan lagi,” katanya.

    Bayona turut mengakui filem itu mempunyai suara sendiri yakni daripada pencetus idea asal, Steven Spielberg yang mula-mula mencipta francais. Katanya, Spielberg yang memantau semua filem dan membuat keputusan paling penting.

    Baginya, legenda itu sudah ada standard tersendiri lantas menjadi rujukan buat pembikin akan datang terutama mengembangkan jalan cerita yang sudah dimulakan melalui filem pertama. “Saya sedang hasilkan Jurassic World 2 tapi masa sama menghasilkan Jurassic Park 5 ketika itu.

    Penulis skrip dan saya serasi dalam menjalin jalan cerita sehinggakan ada saatnya tertanya-tanya adakah Spielberg ada terfikir mengenainya? “Saya bukan mahu tukar keseluruhan naratif atau mood sebaliknya hanya menghasilkan filem Jurassic yang terbaik, itu sahaja!” katanya.

    Kekalkan elemen Spielberg

    Menurut Bayona penggambaran filem itu sangat menarik apatah lagi dia tidak pernah berada dalam pasukan Jurassic sebelum ini. “Saya ada tanya Trevorrow untuk mencipta atau membina set yang besar.

    “Banyak idea baru kami ketengahkan dan penonton pasti akan berasa teruja ketika menonton filem ini. Kami juga dapat detik yang disetkan dalam naratif sebelum memasuki pulau yang dijadikan latar filem,” katanya.

    Dari segi peletakan plot, Bayona berkata ia tidak boleh berhenti begitu sahaja kerana ia adalah bentk latihan intensif. Katanya, dia mahukan sebuah filem yang ada elemen itu apabila penonton berasa teruja dengan aksi tanpa henti yang disuntik sedikit komedi serta drama.

    “Kami berkongsi perkara ini dengan Spielberg dan dia menyukainya. Pesannya, jangan berhenti menyuntik elemen aksi. Elemen seperti ini boleh dilihat di dalam banyak filem Spielberg dan tatkala berfikir mengenai Jurassic Park, saya teringat Raiders Of The Lost Ark dan watak utamanya, Indiana Jones,” katanya.

    Bayona turut memuji lakonan Chris Pratt yang bukan saja bagus sebagai pelawak tetapi berbakat besar sebagai pelakon. Malah, Bayona juga seronok bekerja dengan Chris yang serius dan bijak memikul tanggungjawab sebagai bintang utama. Katanya, mereka sering berbincang mengenai babak yang akan dilakonkan dan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan syot terbaik.

    Filem Jurassic World: Fallen Kingdom ditayangkan di pawagam Malaysia bermula hari ini.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ikut Pesanan Spielberg Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top