Tan Sri Vincent Tan memutuskan untuk menjual semua kepentingannya dalam T7 Global Bhd susulan terdapat laporan tidak tepat dalam berita dan media sosial mengenai tindakannya membeli 21 juta saham syarikat itu, baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan media, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya itu berkata, beliau sudah pun menjual sebahagian sahamnya dalam T7 Global bermula kelmarin dan akan menjual keseluruhannya dalam tempoh selanjutnya. “Saya berharap, ini akan mengakhiri sebarang kontroversi selanjutnya mengenai isu ini,” katanya.
Mengulas lanjut Tan berkata, laporan berita terhadapnya sebelum ini disifatkan berniat buruk dan cuba mengaitkan tindakannya membeli saham T7 Global dengan keputusan kerajaan untuk tidak membatalkan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), meskipun laporan sebelum ini adalah sebaliknya.
Katanya, beliau percaya laporan berita dan komen dibuat di media sosial bertujuan untuk memalukannya dan kerajaan baru di Putrajaya.
“Justeru, saya merasakan adalah perlu untuk saya mengeluarkan kenyataan media bagi menjelaskan kedudukan sebenar dan menafikan segala tuduhan atau cadangan yang tidak wajar atau mengenai kronisme di pihak kerajaan dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.
0 comments:
Post a Comment