JURULATIH Jepun, Akira Nishino memuji kemampuan pemainnya menyesuaikan diri dengan situasi perlawanan dan sekali gus melakar kemenangan 2-1 ke atas Colombia dalam aksi sulung Piala Dunia, malam tadi. Jepun dilihat bijak memanfaatkan situasi selepas dihadiahkan sepakan penalti pada awal perlawanan selain beraksi menentang pihak lawan yang bermain dengan 10 pemain.
Pemain tengah Colombia, Carlos Sanchez dilayangkan kad merah seawal minit ketiga apabila bola terkena tangannya dalam kotak penalti - kad merah pertama dalam Piala Dunia kali ini - dan Shinji Kagawa tenang menyudahkan sepakan penalti bagi meletakkan Jepun di depan.
Bagaimanapun, Colombia kembali bangkit apabila menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma yang diambil Juan Quintero pada minit ke-39. Yuya Osako muncul wira Blue Samurai apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-73.
Nishino berkata beliau memberitahu kepada pemainnya adalah penting untuk mereka terus memberi tekanan dan membuatan pasukan lawan keletihan.
"Sejak mula perlawanan saya fikir kami memang akan bermain secara agresif dan sudah pasti kelebihan untuk kami apabila lawan bermain dengan 10 pemain. Namun, ketika waktu rehat, saya katakan kepada pemain ia bukan semata-mata jumlah pemain yang beraksi...paling penting adalah terus bergerak secara agresif dan membuatkan pemain Colombia keletihan.
"Pada babak kedua, kami mengawal bola dan permainan dengan lebih baik dan sebab itu kami mendapat gol kedua," kata Nishino.
Kemenangan itu menyaksikan Jepun pasukan pertama dari Asia yang berjaya menang ke atas pasukan dari Amerika Selatan dalam saingan Piala Dunia. "Ia hanya satu kemenangan dan tiga mata. Kami perlu berdepan dua lagi perlawanan di venue lain, jadi kami tangguh dulu meraikan kejayaan ini," kata Nishino. Jepun seterusnya akan bertemu Senegal pada Ahad.
0 comments:
Post a Comment