Daihatsu Perodua Engine Manufacturing Sdn Bhd (DPEM), syarikat usahasama antara Daihatsu Motor Co Ltd (Daihatsu Motor) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) berhasrat menjadi pengeluar utama komponen enjin dan pembekal peralatan tulen (OEM) di rantau ini.
Pengerusi DPEM, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, pihaknya berusaha melakukan transformasi itu selepas mengambil kira persaingan di pasaran yang semakin sengit.
Menurutnya, kemudahan pengeluaran enjin adalah pelaburan penting yang dibuat Daihatsu dan PERODUA selepas pembinaan kilang penghantaran, Akashi Kikai Industry (M) Sdn Bhd yang mengeluarkan alat kawalan Transmisi Automatik Elektronik (EAT), dua tahun lalu.
“Kami membina kedua-dua kilang DPEM dan Akashi Kikai di Bandar Teknologi Sendayan ini dan menawarkan komponen enjin yang komprehensif untuk pasaran automotif serta pengeluar peralatan tulen (OEM).
“Menerusi kewujudan kedua-dua kilang ini juga, kami meraih peluang pasaran automotif dengan menawarkan komponen enjin yang berkualiti tinggi pada harga kompetitif,” katanya pada sidang media pada Majlis Pembukaan Kilang DPEM di Bandar Teknologi Sendayan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, Timbalan Presiden Eksekutif Daihatsu Motor Hiroyuki Yokoyama dan Pengarah Urusan DPEM Miyake Koji.
Kilang enjin baru di kawasan seluas 142,000 meter persegi itu menelan belanja RM500 juta dan mula beroperasi Mei lalu yang mempunyai kapasiti pengeluaran 216,000 enjin setahun dengan jumlah pekerja seramai 202 orang, mampu menambah kapasiti kepada tiga kali ganda jumlah pengeluaran pada masa depan.
0 comments:
Post a Comment