Kerajaan masih menanggung subsidi RM400 juta untuk bahan api walaupun harga runcit bahan itu dinaikkan, semalam.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, mulai semalam, harga petrol naik 15 sen berbanding bulan lalu dengan harga runcit petrol RON95 dijual pada harga RM1.95 seliter berbanding RM1.80, diesel RM1.90 seliter berbanding RM1.75 dan RON97 pada RM2.30 seliter berbanding RM2.15.
“Harga runcit semasa yang bermula pada 1 November dikira berdasarkan harga purata pada bulan Oktober yang mana ia menyaksikan peningkatan berbanding harga runcit yang ditetapkan kerajaan.
“Kerana itulah harga petrol pada bulan November meningkat sedikit kerana ia berdasarkan pergerakan harga pada bulan Oktober. Penurunan harga minyak mentah dunia pada bulan ini akan mempengaruhi harga petrol untuk bulan Disember nanti,” katanya selepas perasmian Sidang Kemuncak Pasaran Modal Malaysia ke-21 Institut Kepimpinan Strategik Asia di sini, semalam.
Menurutnya, berdasarkan harga pada bulan Oktober, peningkatan sebenar sepatutnya sebanyak 20 sen, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merasakan harga itu patut dikurangkan sedikit kerana kenaikan tidak boleh terlalu tinggi.
“Maka, kerajaan membuat keputusan untuk menaikkan harga petrol sebanyak 15 sen berbanding 20 sen jumlah kenaikan sebenar,” katanya.
Johari berkata, selain harga minyak dunia, faktor yang diambil kira dalam menentukan harga bahan api ialah pergerakan ringgit berbanding dolar Amerika dengan pengukuhan ringgit berbanding dolar akan membantu menurunkan harga minyak.
Sejak 1 Disember 2014, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaksanakan sistem apungan terurus bagi menentukan harga petrol dan diesel susulan pemansuhan subsidi bahan api.
0 comments:
Post a Comment