Jumaat lalu 17 lagu dipertandingkan pada minggu pertama Separuh Akhir Muzik-Muzik Ke-31 dan baki 14 lagu lagi pada minggu ini. Lagu Ada Saja nyanyian Amyra Rosli menampilkan Waris dan Juzzthin antara yang bertanding Jumaat lalu tetapi tempat Amyra digantikan Aishah Bujang kerana kesibukan membuat persiapan majlis perkahwinannya minggu depan.
Walaupun dianggap bukan peserta pilihan, Aishah, 25, bersyukur diberi peluang sekali lagi biarpun tujuh tahun dalam industri. Gadis genit kelahiran Sarawak ini menggunakan peluang itu untuk kembali dalam industri. Katanya, selepas Akademi Fantasia Musim ketujuh (AF7), dia masih diberi rezeki meneruskan kerjaya nyanyian tetapi bukan mudah untuk terus bertapak dalam industri.
“Memang perlu kerja keras dan kena tebalkan muka mencari lubang rezeki. Saya naik turun rumah produksi membawa profil dan bakat yang ada. Alhamdulillah, ada yang membuahkan hasil,” katanya.
Aishah juga mencuba nasib dalam beberapa program realiti TV lain seperti Dangdut Superstar dan Catching The Dream untuk TV Vietnam. Katanya, selama tujuh tahun dia mencuba nasib dalam bidang lakonan dan pengacaraan. Walaupun namanya tidak bersinar seperti rakan lain, dia tetap bersyukur.
“Apabila dapat tahu saya menggantikan Amyra untuk Separuh Akhir Muzik-Muzik 31, saya percaya Tuhan memberi satu lagi peluang. Biarpun aktif berlakon dan mengacara, saya tidak terlalu menonjol. Saya melihat pembabitan dalam pertandingan ini yang bersiaran di TV3 akan membantu menaikkan nama saya,” katanya.
Aishah akui gementar berkolaborasi dengan Waris dan Juzzthin. Hakikatnya ia bukan kali pertama malah sering bekerjasama dalam studio rakaman terutama di studio Mixology Music. Selepas berada di bawah syarikat Life Records Malaysia, dia muncul dengan single Cinta Dan Luka.
Ia belum dilancarkan secara rasmi tetapi lagu ciptaan DJ Fuzz itu mula dimainkan di beberapa radio tempatan dan dijual di aplikasi iTunes. Bagi Waris dan Juzzthin, peluang berada di Separuh Akhir Muzik-Muzik 31 dianggap sebagai rahmat buat penyanyi rap generasi baru.
Waris atau Muzammil Alias, 27, akui ia peluang kedua selepas berjaya menempatkan diri melalui lagu Gadis Jolobu berkolaborasi dengan Datuk Hattan pada Anugerah Juara Lagu ke-29. “Kami hanya nak bergembira di pentas sebab apa yang kita buat kalau tak bergembira, akan jadi tak seronok dan beri tekanan.
Kita tak tahu masa depan macam mana, jadi bergembira saja. “Sebagai penyanyi Hip Hop dan Rapper, saya difahamkan genre itu lambat lima tahun di negara ini. Tapi sedari ini semakin ramai penyanyi genre itu muncul.
“Dari situ dapat kita lihat, orang sudah mula faham dengan genre ini. Kita ambil yang jernih, buang yang keruh. Kami hanya mahu sampaikan mesej melalui rap,” katanya. Rapper kelahiran Negeri Sembilan dan dikenali melalui lagu Rembau Most Wanted berkata, wujud genre Hip Hop dan Rap yang membawa pengaruh negatif dikenali sebagai ‘Distract’.
Katanya, ‘Distract’ selalunya mengandungi lirik menggunakan bahasa lucah, maki hamun dan kritikan pedas tidak berlapik. “Ia hal biasa di Barat tapi di sini kena berlapik. Tujuan kami untuk sampaikan sesuatu perkara yang mempunyai mesej berguna dan paling penting, pendengar faham.
“Sebagai pelapis baru genre muzik itu, saya melihat kalau berasa susah ia berpunca daripada sifat malas dan ia kelihatan mudah sebab ada sifat rajin dalam diri,” katanya.
Hal sama dikongsi Juzzthin atau Mohamad Nazreen Norzali, 26, yang melihat kepuasan diri mengatasi kehendak masyarakat yang memandang di segi populariti. Katanya, jika berpegang pada orang kenal atau tidak, dia tidak akan mendapat kepuasan dalam apa saja aktiviti seni yang dilakukan.
“Asalkan rasa puas apabila dapat buat bersama dengan kawan-kawan, itu sudah cukup. Selagi saya mampu bergerak dan pegang mikrofon, saya akan terus ada di sini. “Saya anggap penampilan itu macam lauk dan rap itu sebagai nasi. Lauknya pada lagu-lagu sedia ada. Hip hop itu ibarat satu bulatan besar dan boleh masuk semua genre lagu,” katanya.
Pelakon Oh! My English dan Waktu Rehat itu akui menjadi popular kerana muzik berkualiti. Andai muzik itu bagus, ia sendiri akan ke depan. Pada masa ini, penyanyi yang baru saja muncul dengan single Alhamdulillah berkolaborasi dengan Wani akui mahu terus perbaiki diri.
Antaranya perbaiki di sudut kualiti vokal, teknik ‘rapping’, lakonan dan terbaru, pengacaraan. Turut bertanding Jumaat lalu ialah Takkan Pergi, Sudah Ku Tahu, Hang Pi Mana, Hancur Aku, Terakhir, Setia, Katakan, Demi Cinta, Mencinta, Kekal Bahagia, Lelaki Teragung, Ragu Ragu, Seperti Novel Cinta, Cinta Sukar Ditafsirkan, Mungkin Saja dan Berat.
0 comments:
Post a Comment