My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday, 22 July 2017

    Menikmati Oksigen Rimba Kangar


    ADA keunikan tersendiri pada negeri terkecil di negara ini iaitu Perlis. Terletak berhampiran dengan wilayah Satun serta Songkhla, Thailand, kedatangan anda pasti disambut dengan kesopanan dan kesantunan kira-kira 270,000 penduduknya. 

    Realitinya, tiada limpahan pembangunan dan perindustrian berskala tinggi di Perlis selain kelebihan lalu lintas yang kurang sibuk dan hampir lengang pada setiap hujung minggu. Advertisement Pun begitu, Perlis tetap mempunyai kekuatan tersendiri iaitu alam semula jadinya yang kurang tercemar selain kepelbagaian flora dan faunanya.

    Katakan sahaja tempat menarik seperti Gua Kelam, Tasik Melati atau Tasik Timah Tasoh, pasti mampu memberikan seribu satu ketenangan kepada pengunjungnya. Bahkan di ibu negeri Perlis, Kangar sendiri, tersimpan Taman Eko Rimba Bukit Ayer.

    Suasananya pasti mengujakan anda yang mahu bebas daripada kesibukan kota raya. Taman ini terletak 13 kilometer dari bandar Kangar dan merupakan pusat rekreasi di dalam Hutan Simpan Bukit Bintang. Hutan Simpan Bukit Bintang merupakan antara hutan simpan tertua di negara ini yang terdiri daripada formasi batu kapur berusia kira-kira 500 juta tahun.

    Malah, kawasan hutan di Perlis juga menjadi satu-satunya negeri di negara ini yang mempunyai spesies pokok bogak terbanyak.

    Memori

    Bagi Shahidan Bakar, 59, yang merupakan anak jati Perlis, Bukit Ayer sememangnya menyimpan pelbagai memori kepadanya “Namun, dahulu lebih sejuk berbanding sekarang. Boleh dikatakan dahulu setiap waktu sejuk tidak mengira pagi atau petang.

    “Tetapi kini, mungkin kerana lebih banyak penempatan dibina termasuk pembangunan industri kecil, suhu sejuk kini hanya mula terasa pada pukul 5 petang,” katanya yang mengesan sedikit perubahan itu ketika ditemui baru-baru ini.

    Shahidan memberitahu, ramai yang mengambil kesempatan dengan bersenam dan berjoging di sekitar kawasan air terjun itu. Salah sebuah kolam yang terdapat di Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Kangar, Perlis. “Selain mengeluarkan peluh, pengunjung dapat menikmati pemandangan bukit bukau selain flora dan fauna yang indah.

    “Jika bernasib baik pengunjung yang bermandi-manda dapat melihat sendiri ikan-ikan kecil bermain di dalam kolam air, sungai dan air terjun yang jernih,” katanya.

    Taman rekreasi itu mula beroperasi pada awal 1970-an dan diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Perlis. Terdapat kira-kira lima kolam buatan untuk golongan dewasa dan kanak-kanak yang dibina bagi mengalirkan air terjun dari Hutan Simpan Bukit Bintang.

    Hutan simpan itu mempunyai ketinggian 107 meter dari aras laut. Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Madya Dr. Nasrul Hamidin berkata, Taman Eko Rimba Bukit Ayer di Hutan Simpan Bukit Bintang mempunyai pelbagai manfaat kepada rakyat Perlis.

    “Taman ini bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang tidak ternilai tetapi membantu mengurangkan kesan perubahan iklim yang ketara mutakhir ini, mengurangkan kadar hakisan tanah dan banjir.

    “Malah, sumber air terjun dan sungai boleh digunakan untuk janaan elektrik secara berpanjangan seperti hidro mini dan tenaga solar,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

    Tadahan air

    Katanya lagi, pusat rekreasi itu mampu berperanan menjadi kawasan tadahan air yang konsisten untuk penduduk sekitar. “Bukan sahaja tadahan air semula jadi tetapi air hujan yang dapat mengairi kawasan pertanian dan isi rumah yang mampu mengurangkan kekurangan sumber air termasuk tekanan rendah.

    “Khazanah yang tidak ternilai ini perlu dijaga dan diperkembangkan kerana jika tidak dioptimumkan kegunaannya merupakan satu kerugian yang besar,” katanya.

    Sementara itu, Muhammad Farhan Baharudin, 25, berkata, ramai pengunjung terutama kaum Cina yang melakukan senaman taici di taman itu. “Kawasan lapang dan nyaman mampu menyihatkan badan,” katanya.

    Keindahan taman yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Bintang ini begitu mempesonakan. Tiada bayaran yang dikenakan untuk memasuki kawasan peranginan ini. Taman ini turut mempunyai denai batu-batu kecil untuk rawatan refleksologi.

    Pelancong

    Bagi Harizul Abdul Manap, 29, kawasan di taman ini mudah diakses selain mempunyai kemudahan tandas, pondok rehat dan surau. “Selain itu, terdapat pelbagai spesies burung yang cantik dapat dilihat di taman ini,” katanya.

    Pada musim buah-buahan pula, pengunjung dapat membeli durian kampung daripada penduduk yang mempunyai ladang di sekitar Sungai Batu Pahat berdekatan dengan taman itu.

    Bekas Pengarah Perhutanan Negeri Perlis, Nor Azirim Ahmad berkata, pengunjung taman itu biasanya terdiri daripada penduduk negeri itu dan Kedah manakala pelancong antarabangsa pula lazimnya dari Thailand, China dan Jerman.

    “Pengunjung dapat menikmati oksigen yang tidak tercemar selain dapat bermalam di calet pada kadar harga tidak lebih RM100 semalam,” katanya. Tambah Nor Azirim, kawasan rekreasi itu telah diperindah dengan menjalani proses baik pulih sejak tahun 2015. Ia kini dilengkapi dengan kolam-kolam yang cantik dan kedai-kedai makan.

    Beberapa lot kedai makan dan cenderamata juga sedang dibina untuk kemudahan pengunjung. “Pengunjung tidak perlu pergi jauh lagi untuk menikmati juadah asli Perlis sambil beriadah di taman tersebut.

    “Selain itu, sekiranya bertuah, hasil tangkapan ikan belida, lais, jelawat, temoleh dan tilapia di sepanjang sungai dan air terjun itu menjadi makanan yang cukup menyelerakan,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Menikmati Oksigen Rimba Kangar Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top