Seorang penjual ayam maut apabila lehernya dikelar dalam satu pergaduhan dengan rakan serumahnya dalam kejadian di Kampung Buluh Penyumpit, Kuah dekat Langkawi kelmarin. Mayat warga Indonesia, Sahwin Kaloko, 37, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah itu dalam insiden pada pukul 6.15 petang.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Che Ghazali Che Awang berkata, rakan senegara mangsa, Pajar Panjaitan, 19, pula parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk rawatan lanjut.
“Saksi memberitahu kedua-duanya bergaduh kerana masalah peribadi yang berkaitan hal kerja. Polis bagaimanapun belum menemui senjata yang digunakan dalam pergaduhan itu. Polis masih menyiasat bagaimana kedua-duanya dikelar. Kita masih menunggu Pajar yang kini kritikal kembali stabil bagi mengetahui motif sebenar,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambahnya, kedua-dua warga Indonesia itu bekerja sebagai penjual ayam di pasar awam Kelibang, Langkawi dan mereka tinggal di rumah tersebut sejak Februari lalu. Menurut Che Ghazali, keadaan Pajar dilaporkan masih kritikal dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
0 comments:
Post a Comment