SETELAH beberapa bulan, akhirnya jawapan kepada penyebab kematian pelajar tahfiz, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gaddafi yang sebelum ini dikatakan dipukul oleh warden madrasah tahfiz terjawab. Seperti yang diumumkan oleh pihak Kementerian Kesihatan, mangsa rupa-rupanya dijangkiti penyakit kencing tikus yang menyebabkan perubahan warna kepada kulit kakinya.
Jika sebelum ini mangsa dikatakan didera oleh warden madrasah, kini kita semua mula melihat peristiwa tersebut dari sudut yang lain pula. Warden yang sebelum ini mungkin dipersalahkan, kini dilihat sebagai tiada kaitan lagi dengan kematian pelajar tahfiz itu. Bagaimanapun, adakah persepsi masyarakat selama ini adalah salah?
Sebenarnya tidak. Persepsi biasanya tidak memerlukan fakta yang lengkap untuk melengkapkan satu cerita. Ini kerana secara umumnya manusia cenderung untuk memberikan tanggapan berdasarkan sifat yang bersambungan. Misalnya, sekiranya kita melalui kawasan hutan dan melihat seekor anak kucing, kita mungkin boleh menafsirkannya sebagai harimau.
Ini kerana hutan tadi telah melengkapkan penafsiran kita bahawa anak kucing tadi ialah harimau. Ia mungkin berbeza jika kita melihat anak kucing tadi di celah-celah bangunan di dalam bandar. Semua ini dinamakan sebagai illusory correlation. Mutakhir ini, kita sebenarnya sedang dimanipulasi oleh persepsi yang salah seperti ini.
Malah, ada juga hal yang palsu dianggap sebagai benar dan ada pula perkara yang benar dianggap sebagai salah. Misalnya, apabila ada seorang, dua anggota penguat kuasa yang disiasat kerana terlibat dengan jenayah rasuah, kita cenderung menyatakan bahawa individu tadi telah melakukan kesalahan.
Jika jenayah tadi dikaitkan dengan aktiviti yang berkaitan dengan wang atau projek tertentu, kita selalu percaya bahawa ia besar kemungkinannya telah terjadi. Ini kerana rasuah selalunya mempunyai kaitan dengan wang dan projek.
Ia pula sering dikaitkan dengan anggota penguat kuasa. Tafsiran kita mungkin berbeza jika rasuah tadi dikaitkan dengan hal yang tidak relevan atau perkara yang jarang dilaporkan. Misalnya, jika dilaporkan bahawa ada jurutol yang melakukan rasuah dengan pengguna jalan raya, ia mungkin sukar dipercayai.
Walaupun ia masih berkaitan dengan wang tetapi jurutol dan pengguna jalan raya adalah dua hal yang jarang dikaitkan dengan rasuah. Ini kerana manusia cenderung untuk mengaitkan perkaitan, adakalanya kita membuat kesimpulan terlalu cepat apabila membaca berita atau maklumat tertentu yang tular dalam media sosial.
Dalam kes warden tersebut, kita selalu mendengar berita mengenai kejadian kanak-kanak yang didera dan dihidangkan dengan berita tegasnya warden di sekolah agama. Diyakini Berita mengenai anak tadi dipukul dengan teruk akan lebih mudah diyakini sebagai benar. Dalam kebanyakan kes, kita mungkin boleh membuat kesimpulan tanpa perlu melihat bukti tambahan yang lain.
Misalnya, gambar kaki yang luka, bentuk rotan digunakan dan sebagainya. Ini kerana kita telah membuat kesimpulan terlebih dahulu dan bukti yang lain boleh sahaja diabaikan. Sedangkan hakikatnya, hubungan ini tidak semestinya kerana ia adalah A, maka ia akan menyebabkan berlakunya B.
Dalam kehidupan kita, tidak semua perkara adalah bersifat sebab dan akibat, walaupun tafsiran minda kita selalunya cuba merumuskan realiti kehidupan dengan cara yang sedemikian rupa. Apabila seseorang itu menaiki kereta besar, maka mereka mungkin telah melakukan rasuah. Sedangkan boleh sahaja berlaku mereka yang melakukan rasuah juga tidak menaiki kereta besar.
Ia adalah hal yang tidak berkaitan. Dalam media sosial kini, setiap hari kita melihat pelbagai berita. Sama ada ia benar atau tidak adakalanya tidak begitu penting. Sebaliknya, manusia cenderung menilai sama ada ia benar atau tidak bergantung kepada siapa watak pelaku tadi. Oleh sebab itulah, berita perceraian artis akan lebih dipercayai berbanding cerita orang alim yang bercerai.
Ini kerana artis selalu dianggap hidup dengan penuh kontroversi sedangkan orang alim pula hidup dalam keadaan yang lebih harmoni. Realitinya, tidak semestinya benar dalam semua keadaan. Perkara yang kita lihat belum tentu membenarkan apa yang kita jangkakan. Mungkin itulah pesanan terbaik untuk kita semua.
0 comments:
Post a Comment