My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 18 July 2017

    Aku Pekerja, Akulah Tauke!





    Bekerja mengikut waktu pejabat mungkin impian kebanyakan siswazah namun tidak bagi Hafiz Ezman Ishak, 24, yang selesa mengusahakan perniagaan sendiri walaupun tidak berkaitan dengan bidang pengajiannya. Bermula dengan urus niaga di dalam talian dan jualan melalui but kereta, Hafiz terus komited.

    Berkat usaha, dia kini maju setapak lagi apabila berjaya menyewa sebuah kedai barangan terpakai di Batu Gajah, Perak. Bercerita lanjut, Hafiz berkata, perniagaan itu dijalankan sejak di semester lima pengajian bermodalkan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) . 

    Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, pada mulanya , dia hanya menjual kasut namun sambutan baik daripada pelanggan mendorongnya meluaskan skop jualan kepada pakaian dan barangan terpakai.

    “Niat asal saya berniaga untuk mencari duit poket sendiri dan sebagai permulaan, saya menggunakan semua wang pinjaman PTPTN yang ada bagi membeli stok kasut. “Walaupun tiada pengalaman, saya tekad mencuba dengan memanfaatkan media sosial bagi mempromosi barangan jualan ketika itu. 

    “Selebihnya, saya jual melalui but kereta dengan menjadikan kawasan berhampiran stesen minyak sebagai tapak niaga ,” katanya.

    Lulusan Seni Reka Seramik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata, aktiviti jualan itu diteruskan sehingga akhir semester sebelum dapat menyewa kedai hasil wang jualan terkumpul. Hafiz berkata, kewujudan kedai itu sekurang-kurangnya memudahkan dia meletak barang jualan dan berurus niaga dengan pelanggan.

    “Kedai saya baru baru enam bulan beroperasi dan buat masa ini menguruskannya sendiri tanpa bantuan sesiapa. Bukan senang menguruskan semua perkara sendiri tetapi itulah cabarannya lagipun, saya memang bergerak sendiri sejak dulu. Cuma, saya perlu serius dan buat masa ini ia diterima baik pelanggan yang majoritinya penduduk berhampiran,” katanya.

    Menurut Hafiz , walaupun sudah beroperasi di kedai, dia masih meneruskan aktiviti jualan di laman sosial untuk menarik lebih ramai pelanggan. Katanya, urus niaga melalui cara itu perlu dilakukan bagi menambah hasil jualan dan persediaan sekiranya jualan di kedai tidak begitu memberangsangkan.

    “Sebagai peniaga, kita tidak boleh terlalu berharap daripada satu sumber dan sebab itu, saya masih mengharapkan laman sosial peribadi iaitu BemBan Bundle House untuk mempromosikan barangan baru.

    “Bukan apa, saya tidak mahu terlalu selesa dan sebenarnya, ia lebih baik kerana berpeluang mempromosikan kedai kepada pelanggan yang baru. Lagipun, impian saya besar iaitu mahu membuka lebih banyak cawangan dan berharap ia tercapai satu hari nanti,” katanya yang puas kerana dapat membantu kedua-dua ibu bapanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Aku Pekerja, Akulah Tauke! Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top