Penggemar filem thriller dan risikan pasti menggemari kisah Atomic Blonde yang diadaptasi daripada siri novel grafik British, The Coldest City. Filem arahan David Leitch ini mengisahkan ejen perisik MI6 kedudukan tinggi, Lorraine Broughton lakonan Charlize Theron ditugaskan ke Berlin, Jerman untuk menumpaskan sekumpulan pengintip.
Mula ditayangkan hari ini, Charlize pada tayangan perdana di Los Angeles, Amerika Syarika baru-baru ini berkata ada kemungkinan produksi mengeluarkan sekuel Atomic Blonde. “Sudah ada perbincangan menghasilkan sekuel atau prekuel. Apa yang saya suka mengenai karakter Lorraine adalah dia penuh dengan teka-teki.
“Jadi, ini membolehkan kami meneruskan kisahnya dan mengembangkan karakternya,” kata beliau yang juga produser Atomic Blonde. Menurut pelakon jelita itu, dia berpuas hati dengan hasil filem ini yang dicipta berdasarkan ideanya pada 2013.
“Jarang apabila anda cuba menghasilkan sesuatu dan apa yang dirancangkan empat tahun lalu menjadi kenyataan. Saya sangat bangga dengan filem ini,” katanya.
Pada majlis itu, Theron turut memberitahu dia berpuas hati apabila Atomic Blonde diangkat sebagai simbol wanita hebat dalam filem aksi seperti Wonder Woman. “Ini menunjukkan wanita mampu menguasai karya aksi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Theron mendedahkan dua giginya retak ketika menjalani penggambaran Atomic Blonde dan terpaksa menjalani pembedahan. “Kejadian itu berlaku pada bulan pertama saya menjalani latihan. Saya mengalami sakit gigi yang terlampau dan tidak pernah merasai kesakitan seperti itu seumur hidup.
“Pada mulanya, saya ingat gigi berlubang namun doktor memberitahu perlu menjalani pembedahan untuk mencabut satu gigi,” katanya.
Ujar Theron, situasi itu sangat mencabar kerana dia perlu memastikan tahap fizikalnya berada dalam keadaan terbaik sebelum penggambaran bermula. “Saya juga perlu menjalani satu lagi pembedahan untuk memasang skru.
Selain itu, lutut dan tulang rusuk saya juga cedera,” katanya. Turut membintangi filem ini ialah James McAvoy, John Goodman, Til Schweiger, Eddie Marsan, Sofia Boutella dan Toby Jones.
Berlatarbelakangkan 1989, Atomic Blonde mengisahkan Lorraine Broughton ditugaskan ke Berlin untuk menumpaskan sekumpulan pengintip yang membunuh seorang ejen perisik tanpa sebab.
Broughton diarahkan bekerjasama dengan ketua Balai Polis Berlin, David Percival namun mereka tidak sehaluan dan mula menunjukkan skil masing-masing untuk mencari dalang yang menggugat keseluruhan operasi risikan di Barat.
0 comments:
Post a Comment