My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 31 July 2017

    Ferrari Unggul Di Budapest



    Pendahulu saingan Formula Satu (F1), Sebastian Vettel menamatkan dominasi pelumba Mercedes, Lewis Hamilton di Litar Hungaroring apabila melakar kemenangan di Grand Prix (GP) Hungary malam tadi. 

    Lebih manis, Ferrari melakar kemenangan 1-2 pada perlumbaan tersebut selepas Kimi Raikkonen turut menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Vettel yang melakukan catatan 1 jam 39 minit 46.713 saat.

    Hamilton yang mempunyai rekod terbaik di Litar Hungaroring dengan melakar lima kemenangan sebelum ini terpaksa akur dengan kehebatan Vettel apabila menamatkan saingan di tempat keempat selepas memberikan laluan kepada rakan sepasukannya, Valtteri Bottas pada selekoh terakhir untuk berada di tempat ketiga.

    Keputusan itu menyaksikan Vettel terus muncul sebagai pendahulu saingan F1 selepas mengumpul 202 mata melalui empat kemenangan musim ini sekali gus meninggalkan Lewis Hamilton di kedudukan kedua dengan perbezaan 14 mata apabila mengumpul 188 mata.

    Kali terakhir Ferrari mencatat kemenangan 1-2 pada tahun 2004 menerusi legenda mereka, Michael Schumacher yang berpasangan dengan Rubens Barrichello.

    “Perlumbaan ini bukan mudah bagi saya kerana saingan sangat sukar pada awal perlumbaan di selekoh pertama sehingga berlaku pelanggaran. Saya bernasib baik berjaya mengelakkan insiden tersebut. Saya juga mendapat tekanan hebat daripada Raikkonen yang cukup pantas.

    “Ketika lima pusingan untuk tamat, tayar saya semakin hilang cengkaman dan hampir terbabas menyebabkan saya terpaksa berhati-hati untuk mengekalkan kedudukan sehingga ke penghujung perlumbaan.

    “Apa pun saya ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan yang telah menyediakan sebuah jentera yang terbaik sepanjang minggu ini dan berharap kami mampu mengecapi kejayaan pada pusingan seterusnya,” kata Vettel.

    Sementara itu, nasib berbeza buat pelumba Red Bull, Max Verstappen apabila dikenakan hukuman penalti 10 saat oleh pengarah perlumbaan F1 selepas didapati telah melakukan kesalahan melanggar rakan sepasukannya, Daniel Ricciardo, namun dia masih berjaya mengekalkan kedudukannya di tempat kelima.

    Sementara itu, pasukan McLaren Honda yang melakukan perubahan besar pada unit kuasa minggu lalu akhirnya berjaya mengutip lapan mata apabila Fernando Alonso menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam. Keputusan tersebut merupakan rekod terbaik buat McLaren sepanjang 11 perlumbaan selepas gagal menamatkan enam perlumbaan sebelum ini.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ferrari Unggul Di Budapest Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top