Seramai 10 peserta akan berentap pada pertandingan akhir Miss Sabah Tourism 2017 yang akan diadakan 11 Ogos depan. Pengarah Miss Sabah Tourism 2017 Weena Marcus berkata, kesemua peserta akhir itu akan bertanding bagi merebut gelaran Miss Sabah Tourism 2017 yang akan diadakan di Dewan Hakka, di sini.
“Pihak penganjur ingin berterima kasih kepada syarikat pemaju hartanah tempatan SG Group dan Poise Productions di atas kerjasama yang diberikan. Tahun ini, kesemua peserta akhir ini akan memperkenalkan pakaian eksklusif batik daripada Batik Bayu, Pusat Kraftangan Sabah,” katanya dalam satu sidang media.
Beliau berkata tahun ini juga, pihak penganjur turut menjalinkan kerjasama dengan pusat beli-belah Imago untuk menganjurkan Minggu Fesyen Imago. Weena berkata, program itu akan disertai oleh 10 peserta akhir Miss Sabah Tourism 2017 dengan pertunjukan yang diadakan selama dua hari.
“Selaras dengan slogan penganjuran ‘Mempromosikan pelancongan, kebudayaan dan persahabatan’, Miss Sabah Tourism 2017 akan menerbitkan tiga episod ‘Sabah Travelogue’. Kesemua episod itu akan disiarkan pada pertandingan akhir Miss Sabah Tourism 2017 dan juga di media sosial para peserta selepas pertandingan itu,” katanya.
Menurutnya, pertandingan Miss Sabah Tourism adalah salah satu platform untuk mempromosi pelancongan, kebudayaan dan persahabatan dalam kalangan delegasinya. Katanya, pihak penganjur turut menggunakan pendekatan lain tahun ini dalam usaha memperkenalkan destinasi tempatan kepada negara lain.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SG Group Steven Low, Pengurus Besar Avangio Hotel Gordon Seet, Pemangku Pengurus Pemasaran Imago Rustam Ahmad, Pengasas Sheila Liaw International Academy Sheila Liaw dan Pengarah Pemasaran dan Jualan New York Fitness Centre Sally Lee.
Sepuluh peserta Miss Sabah Tourism 2017 ialah Kimberly Ye, Jacqueline Lee, Pritha John, Estherlyn Joseph, Eleanor Ng, Cindy Foo, Marvena Jitol, Claudieya Max Aloysius, Jacklyn Lo dan Angel Oh.
0 comments:
Post a Comment