Selepas mencatat angka jualan ke-250,000 bagi Honda City, pasti ada keistimewaannya sehingga model ini mencatat jumlah jualan tertinggi, yang juga merangkumi 38 peratus jualan Honda Malaysia di negara ini. Peluang memandu uji model sedan Segmen B popular tempoh hari membolehkan penulis menemui jawapan terhadap jentera popular ini.
Perjalanan dari ibu kota ke Bandaraya Bersejarah Melaka sejauh hampir 300 kilometer ini merangkumi pelbagai laluan antaranya jalan biasa, lebuh raya dan mengharungi kesesakan di bandar. Kali pertama lihat susuk fizikal model terbaru ini, pelbagai pembaharuan ditawarkan dan paling menyerlah sudah pasti lampu utama di perumah hadapan serta belakang.
Untuk varian V, ciri premium terserlah apabila lampu hadapan, Lampu Nyalaan Siang (DRL), lampu anti-kabus, lampu belakang sehingga ke lampu brek ketiga didatangkan dengan LED. Lekuk sisi yang meruncing dari perumah lampu belakang hingga ke cermin sisi menampakkan gaya tampan dan sporty.
Tiada perubahan ketara pada gril hadapan melainkan rekaan bampar baru lebih segar. Bahagian belakang juga mengalami perubahan apabila dibekalkan dengan spoiler ‘ducktail’ manakala antena ‘shark fin’ menambahkan lagi gaya model terbaru ini. Padanan rim 16 inci menyerlahkan lagi gaya model terlaris Honda ini.
Melihat ke ruang dalaman dibangunkan dengan prinsip reka bentuk Honda dikenali sebagai ‘Man Maximum, Machine Minimum’ yang memaksimumkan ruang untuk pemandu, penumpang dan barang, ternyata konsep berkenaan bukan omong kosong.
Ruangan kokpit disusun kemas dan mudah dicapai sama ada pemandu atau penumpang hadapan. Skrin 6.8 inci pelbagai fungsi menghiasi papan pemuka manakala kawalan pendingin hawa adalah elektronik sepenuhnya. Model terbaru ini juga dilengkapi butang penghidup enjin dan ini adalah ciri standard untuk semua varian City.
Paparan meter juga tidak memeningkan apabila tersusun rapi dalam tiga bulatan memaparkan rpm, kelajuan dan maklumat perjalanan. Corong pendingin hawa untuk penumpang belakang dan gema muzik dari lapan pembesar suara menjanjikan perjalanan lebih tenang dan selesa.
Kerusi balutan kulit, ruang lega kaki dan kepala yang selesa seperti kereta Segmen C menyebabkan penulis terlupa sedang memandu Honda City ketika itu. Ruang kargonya pula seluas 536 liter bukan sahaja lebih besar daripada model segmen C, malah setanding sedan segmen D.
Honda City baru ini masih didatangkan dengan enjin 1.5L i-VTEC yang dipadankan dengan transmisi Continuous Variable Transmission (CVT) yang dibangunkan hasil Earth Dreams Technology Honda yang menawarkan keseimbangan prestasi pemanduan dan penjimatan bahan api.
Model ini diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan menawarkan penjimatan bahan api luar biasa dengan anggaran 5.7 liter bagi setiap 100 kilometer. Sepanjang perjalanan merentasi lebuh raya, enjin empat silinder 16 injap SOHC berkuasa 88kW pada 6,600 rpm menjalankan tugas dengan cemerlang tanpa ngauman yang membingitkan.
Namun, Honda City bukan dicipta untuk kelajuan dan kenderaan terasa ringan ketika kelajuan mula melebihi 160 kilometer sejam (km/j). Ketika melalui laluan biasa berselekoh dari Port Dickson ke Alor Gajah, tujahan tork 145Nm pada 4,600 rpm memastikan jentera mampu mengekalkan momentum selepas mengharungi selekoh.
Bagi mereka yang mahukan cabaran pemanduan manual, pilihan penggunaan ‘paddle shift’ sangat mengujakan. Suspensi topang MacPherson pada roda hadapan dan Torsion Beam di belakang selain Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) serta Bantuan Mula Mendaki (HSA) memastikan kenderaan terkawal dalam setiap cara pemanduan.
Model ini dibekalkan dengan enam beg udara termasuk Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) sebagai ciri keselamatan standard bagi semua varian. Ciri standard lain termasuk Sistem Brek Anti Kekunci (ABS) dengan Sistem Agihan Daya Brek (EBD) dan Bantuan Brek (BA).
Keutamaan keselamatan membolehkan model ini menerima penarafan lima bintang bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan empat bintang untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) oleh ASEAN NCAP. Namun, ciri keselamatan premium ini bukan alasan untuk pemandu mengabaikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
Bagi mereka yang mahukan sedan yang boleh dikatakan sempurna, Honda City Baru ini adalah jawapannya. Berharga RM92,000 termasuk insurans bagi Varian V, RM84,600 (Varian E) dan RM78,300 untuk Varian S, City baru ini dikekalkan jaminan pada lima tahun dengan perbatuan tanpa had.
Lima warna ditawarkan iaitu perak (Lunar Silver Metallic), merah (Dark Ruby Red Pearl), putih (Tafetta White), kelabu (Modern Steel Metallic) dan hitam (Crystal Black Pearl).
0 comments:
Post a Comment