My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 28 July 2017

    Saya Pilih Belgium Berbanding Malaysia



    TEKA-TEKI sama ada Dion Cools bermain untuk Harimau Malaya akhirnya terjawab apabila pemain pertahanan kanan Brugge FC itu membuat keputusan untuk menyertai skuad kebangsaan Belgium. 

    Perkara itu didedahkan oleh jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada yang mengesahkan Cools, 21, mahu melebarkan kariernya bersama negara Eropah tersebut yang dilihat memiliki peluang cerah untuk bermain pada peringkat lebih tinggi khususnya Piala Dunia.

    Tanpa berselindung, pengendali kelahiran Portugal itu tampak kesal tidak dapat menggunakan khidmat Cools tetapi pada masa sama tetap menghormati keputusan pemain kelahiran Kuching, Sarawak tersebut.

    “Cools telah membuat keputusan tidak menyertai pasukan kebangsaan, sebaliknya memilih Belgium sebagai pasukan kebangsaan. Saya dimaklumkan bahawa Cools masih boleh menyarung jersi negara kerana dia belum membuat penampilan bersama skuad senior tetapi dia telah memaklumkan kepada pihak kami yang dia mahu bermain untuk Belgium.

    “Apa pun, kami menghormati keputusan Cools dan berharap dia akan mencapai pelbagai kejayaan bersama Belgium nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hotel Al-Meroz, Bangkok baru-baru ini.

    Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilaporkan telah bersedia untuk mengintai khidmat pemain-pemain kelahiran Malaysia yang beraksi di luar negara dalam misi memperkasakan pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.

    Nama Cools berada dalam radar FAM kerana badan induk bola sepak negara itu turut berhajat agar bekas pemain OH Leuven tersebut membuat penampilan bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee bermain di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan depan.

    Bagaimanapun, Vingada memberi jaminan bahawa beliau akan berusaha lebih keras untuk mengintai ramai lagi pemain berkualiti tinggi yang mana usaha itu bukan sahaja tertumpu di luar negara tetapi pendekatan di dalam negara turut diutamakan.

    Tambahnya, beliau juga tidak menolak pemain-pemain luar negara memiliki kerakyatan Malaysia seperti Natxo Insa tetapi mahu menilai dahulu prestasi perancang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu. 

    “Saya ada melihat beberapa pemain yang memiliki kerakyatan Malaysia bermain di luar negara tetapi masih belum meyakinkan. Apa yang pasti, saya harus keluar mencari pemain-pemain berkualiti tinggi untuk bersaing di pentas antarabangsa,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Saya Pilih Belgium Berbanding Malaysia Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top