My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 31 July 2017

    Hiperkolesterolemia Tiada Gejala




    Penyakit hiperkolesterolemia atau kolesterol tinggi dalam darah adalah masalah kesihatan yang semakin meningkat. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 melaporkan kadar penghidap hiperkolesterolemia secara keseluruhannya termasuk yang tidak didiagnosis masih tinggi di Malaysia apabila melaporkan peningkatan kepada 47.7 peratus pada 2015 berbanding 32.6 peratus pada 2011. 

    Kadar ini secara amnya meningkat mengikut usia daripada 22 peratus bagi lingkungan usia 18 hingga 19 tahun dan meningkat kepada 68.8 peratus bagi lingkungan usia 55 hingga 59 tahun.

    Pada peringkat global, satu pertiga penyakit jantung iskemia dikaitkan dengan kolesterol tinggi dan secara keseluruhannya paras kolesterol yang tinggi dianggarkan menyebabkan 2.6 juta kematian dan turut mengakibatkan kira-kira 29.7 juta penghidapnya hilang keupayaan diri. Penyakit jantung iskemia tetap menjadi punca kematian utama di Malaysia sepanjang 10 tahun lalu.

    Malah, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bilangan kematian akibat penyakit jantung iskemia pada 2014 memuncak kepada 13.5 peratus. Hiperkolesterolemia berlaku apabila terdapat terlalu banyak kolesterol dalam darah yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit kardiovaskular (CVD) seperti serangan jantung dan strok.

    Tanpa rawatan, serangan kardiovaskular boleh mengakibatkan masalah serius atau lebih buruk lagi adalah maut. Kolesterol adalah bahan berlilin daripada dua sumber iaitu badan manusia dan makanan. Badan manusia terutamanya hati menghasilkan semua kolesterol yang diperlukan dan mengedarkannya melalui darah.

    Kolesterol juga boleh didapati dalam makanan daripada sumber haiwan seperti daging lembu dan ayam serta hasil tenusu penuh lemak. Hati akan menghasilkan lebih banyak kolesterol apabila kita mengambil makanan yang tinggi kandungan lemak tepu dan lemak trans.

    Bagaimanapun, kolesterol penting bagi fungsi badan kerana selain bertindak menjadi asas binaan membran sel, ia juga berperanan menghasilkan hormon tertentu. Kolesterol juga menghasilkan sebatian bagi membantu penghadaman lemak.

    Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr Jeyamalar Rajadurai berkata kolesterol terbahagi kepada lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) atau dikenali sebagai kolesterol jahat dan lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) atau disebut sebagai kolesterol baik.

    Kolesterol jahat adalah sumber utama plak yang menyumbat arteri, manakala kolesterol baik membantu mencegah penyakit kardiovaskular dan faktor risiko berkaitan. Semakin tinggi paras LDL, semakin tinggi risiko berlaku penyakit jantung atau serangan jantung akibat aliran darah terhalang. 

    “Kolesterol berlebihan boleh membentuk plak antara lapisan dinding arteri yang menyukarkan peredaran darah untuk bergerak lancar kerana plak yang terkumpul menyebabkan penyempitan saluran darah dan mengeraskan arteri.

    “Proses plak terkumpul dalam arteri dalam jangka masa lama dikenali sebagai aterosklerosis dan apabila arteri menjadi terlalu sempit sel darah merah yang kaya dengan oksigen tidak cukup untuk sampai ke jantung dan otot lalu menyebabkan sakit dada teramat sangat (angina).

    “Jika sebahagian daripada plak pecah, platelet berkumpul di kawasan yang cedera dan membentuk darah beku. Akhirnya, darah beku menghalang aliran darah ke jantung dan menyebabkan serangan jantung, manakala darah beku yang menghalang aliran darah ke otak pula dipanggil strok,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membincangkan masalah hiperkolesterolemia dalam kalangan rakyat Malaysia sempena pelancaran rawatan penurunan kolesterol LDL, ATOZET, yang bertindak menghalang penyerapan dan penghasilan kolesterol dalam badan anjuran MSD Malaysia, baru-baru ini.

    Dr Jeyamalar berkata, hiperkolesterolemia bersifat asimptomatik iaitu pesakit tidak mengalami gejala. Malah, kebanyakan pesakit tidak sedar pun bahawa paras kolesterol dihidapi tinggi dan satu-satunya cara untuk mengesan adalah melalui pemeriksaan perubatan yang tetap serta ujian darah untuk mengukur paras kolesterol dalam darah.

    Antara tabiat yang meningkatkan risiko mendapat hiperkolesterolemia adalah sajian makanan yang tidak berkhasiat seperti mengambil pemakanan yang tinggi kandungan lemak tepu, lemak trans dan kolesterol. Semua jenis makanan jika diambil berlebihan tidak baik, diet yang sihat untuk jantung perlu seimbang dan kaya dengan pelbagai khasiat.

    “Mereka yang tidak aktif secara fizikal apabila kurang gerak kerja jasmani juga akan menaikkan berat badan dan ini pula boleh meninggikan paras kolesterol. Obesiti dan berat badan berlebihan dikaitkan dengan paras trigliserida dan kolesterol jahat yang tinggi, manakala paras kolesterol baiknya pula rendah.

    “Namun, faktor genetik mungkin berperanan meninggikan paras kolesterol. Jika anda mempunyai sejarah kolesterol yang tinggi dalam keluarga, lebih besar kemungkinannya anda juga menghidap kolesterol tinggi.

    “Risiko mendapat masalah kolesterol tinggi boleh meningkat lagi apabila faktor keturunan digabungkan dengan pilihan gaya hidup yang kurang sihat seperti memakan makanan yang kurang berkhasiat,” katanya.

    Paras kolesterol yang tinggi mungkin berlaku kerana keturunan apabila hati menghasilkan kolesterol berlebihan atau badan kurang cekap menyingkirkan LDL daripada darah. Kira-kira seorang daripada setiap 500 penduduk menghidap penyakit hiperkolesterolemia yang diwarisi keluarga yang boleh menyebabkan paras kolesterol yang teramat tinggi.

    Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Dr David Quek berkata, mereka yang berusia 20 tahun ke atas harus mendapatkan pemeriksaan paras kolesterol sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun, di samping mengubah gaya hidup kepada amalan yang lebih sihat.

    “Antara perubahan gaya hidup yang disyorkan bagi penghidap kolesterol tinggi ialah berhenti merokok, mengehadkan pengambilan alkohol, kerap melakukan senaman atau aktiviti riadah dan mengekalkan berat badan yang sihat.

    “Keberkesanan mengamalkan pemakanan yang berkhasiat dan memakan ubat untuk menurunkan paras kolesterol berbeza bagi setiap orang. Secara puratanya, mengawal pemakanan dan bersenam boleh menurunkan kolesterol LDL sebanyak 10 peratus, manakala ubatan pula menurunkan lagi kolesterol LDL antara 20 hingga melebihi 50 peratus.

    “Bagi mengurangkan kolesterol LDL, doktor boleh menggunakan satu ubat ataupun gabungan beberapa ubat. Antara kelas ubat utama yang mengurangkan kolesterol darah ialah statin, fibrat, resin, niasin dan perencat penyerapan kolesterol,” katanya.

    Katanya, di samping pemakanan berkhasiat, ubat statin ialah terapi pengurang lipid yang utama untuk menurunkan aras kolesterol LDL yang tinggi pada pesakit apabila terapi ubat diperlukan.

    “Garis panduan terbaru menyatakan bukti bahawa paras LDL yang lebih rendah berkait dengan kadar kejadian CV yang lebih rendah, semakin banyak LDL dikurangkan semakin banyak risiko CV dikurangkan. Manfaat pengurangan LDL ini tidak khusus bagi terapi ubat statin.

    “Oleh itu, wajarlah paras LDL diturunkan serendah-rendahnya terutama pesakit yang sangat tinggi risikonya mengalami masalah CV,” katanya.

    Sementara itu, rawatan ATOZET kajian kumpulan selari berbilang pusat membabitkan 196 pesakit hiperkolesterolemia dirawat selama enam minggu didapati terbukti menurunkan paras LDL dengan lebih banyak berbanding dengan dos atorvastatin yang digandakan.

    ATOZET adalah tablet gabungan ezetimibe dan atorvastatin yang dimakan sekali sehari mempunyai dua mekanisme tindakan bagi merawat dua punca utama kolesterol di dalam darah. Ezetimibe menghalang penyerapan kolesterol dalam salur penghadaman, manakala atorvastatin menghalang penghasilan kolesterol dalam hati.

    Ia juga digunakan untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular pada pesakit yang menghidap CHD dan mempunyai sejarah sindrom koronari akut (ACS), sama ada pernah dirawat dengan ubat statin ataupun tidak.

    Selain itu, ATOZET digunakan sebagai terapi tambahan berserta pengawalan makanan untuk orang dewasa yang menghidap hiperkolesterolemia primer sama ada diwarisi atau tidak dan hiperlipidemia campuran yang tidak dapat dikawal dengan baik oleh ubat statin sahaja ataupun yang sudah dirawat dengan ubat statin berserta ezetimibe.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Hiperkolesterolemia Tiada Gejala Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top