Saban tahun, negara mencatatkan jumlah kemalangan maut yang agak tinggi akibat daripada pelbagai faktor. Antara faktor utamanya adalah sikap pemandu itu sendiri yang enggan mematuhi undang-undang jalan raya disamping faktor memandu dalam keadaan keletihan.
Hal ini tidak terhad kepada pemandu kenderaan persendirian semata-mata. Ianya turut melibatkan pemandu kenderaan awam dan komersial yang saban hari menggunakan kesemua jaringan jalan raya terutamanya lebuh-lebuh raya di seluruh Semenanjung Malaysia.
Bagi mengatasi masalah ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) telah menjalinkan kerjasama dengan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) bagi mempergiatkan usaha mengesan pemandu kenderaan awam dan komersial yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya menerusi pemantauan sistem keselamatan kamera litar tertutup (CCTV).
Perkara ini didedahkan sendiri oleh Pengurus Besar Kanan Bahagian penguatkuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad semalam. Ujar beliau, kerjasama ini telah dijalankan sejak awal tahun ini antara lain bertujuan untuk memantau perilaku pemandu terutama pemandu kenderaan berat seperti lori dan bas yang memandu secara merbahaya.
Ianya sekaligus mampu untuk mengekang kemalangan maut yang membabitkan kenderaan berat berkenaan. Menurutnya, penekanan itu diberikan keutamaan bagi memastikan keselamatan penumpang membabitkan bas dan segala tindakan sewajarnya dapat diambil kepada mana-mana pemandu yang melakukan salah laku.
Nampaknya, SPAD benar-benar komited untuk mengekang sebarang kemungkinan kemalangan berlaku melibatkan kenderaan berat seperti bas dan lori yang boleh dianggap sebagai "raja" jalan raya. Setidak-tidaknya, menerusi pemantauan berterusan ini, diharapkan para pemandu kedua-dua jenis kenderaan ini dapat didisiplinkan dan dapat mengurangkan kes-kes kemalangan melibatkan kedua-dua kenderaan ini.
0 comments:
Post a Comment