Perbuatan seorang pembantu kedai kasut yang menghantar komunikasi jelik dengan cara menyunting gambar Perdana Menteri bersama wanita berpakaian mencolok mata di laman Facebook miliknya tahun lalu menerima padah selepas dia didenda RM3,500 dan dipenjara sehari.
Hakim Mahkamah Sesyen Zaman Mohd. Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Zaidi Abdullah, 40, selaku orang kena saman (OKS) selepas menukar pengakuannya kepada bersalah ketika sebutan kes semalam.
Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda itu. Muhammad Zaidi membayar denda berkenaan. Mengikut pertuduhan, Muhammad Zaidi didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook akaun Zaidi Zura secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 4.07 pagi, 3 Disember 2016 diikuti pukul 6.31 petang, 5 Disember 2016 dan pukul 7.35 petang, 6 Disember 2016. Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama.
Akta tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan jika sabit kesalahan.
0 comments:
Post a Comment