Taman-Taman Sabah (TTS) kini lebih baik dan selamat daripada sebelum ini memandangkan pelbagai aspek telah diteliti serta dinaik taraf. Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Jamili Nais berkata, walaupun Sabah dilanda bencana alam sebelum ini namun para pelancong yang datang ke negeri ini semakin meningkat.
"Kini, TTS mampunyai seramai 48 penyelamat dan empat marshal, 28 daripadanya adalah terletak di Taman Tunku Abdul Rahman dan 12 di Pulau Manukan. Sejak 10 tahun lalu (2006 hingga 2016), sebanyak 1,234 insiden dicatatkan yang mana, 440 insiden melibatkan cedera ringan akibat tergelincir dari batu atau pasir di kawasan pantai dan gunung.
“Sebanyak 195 insiden adalah berkaitan kes lemas dan hampir lemas, melibatkan 185 insiden hampir lemas manakala 10 kes membabitkan lemas,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Pewartaan Taman Tunku Abdul Rahman ke-43 dan Pusat Akuarium Marin, pada kelmarin.
Beliau berkata, kini cabaran TTS adalah berbeza daripada dahulu kerana sekarang ini pihaknya melihat keutamaan kepada keselamatan dan juga bagaimana menampung kesesakan pelancong. Katanya, pada tahun lalu, kedatangan pelancong di Taman Tunku Abdul Rahman melibatkan seramai 475,807 orang.
Seramai 309,738 (70 peratus) adalah pengunjung antarabangsa dan selebihnya adalah warga Malaysia. “Kita mencatatkan kenaikan kehadiran pelancongan hampir setengah juta setiap tahun di pulau-pulau di sini.
“Sehingga Jun 2017, Taman Tunku Abdul Rahman telah mencatatkan kehadiran seramai 285,545 orang yang mana, 68 peratus daripadanya adalah pelancong asing,” katanya. Selain itu katanya, TTS juga akan mengemas kini yuran konservasi yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2018.
Jamili berkata, yuran konservasi untuk pelancong tempatan akan dinaikkan dari RM3 seorang kepada RM5, manakala yuran bagi pengunjung asing dinaikkan dari RM10 kepada RM20 seorang. “Yuran dinaikkan berdasarkan keadaan semasa di negara jiran serta taman-taman dalam negara yang turut menaikkan kadar itu,” jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Taman Tunku Abdul Rahman Anthony Tinggi berkata Pusat Akuarium Marin adalah satu produk nilai tambah kepada pusat pelancongan di sini. Katanya, ia akan menjadi daya tarikan kepada pelajar dan para pelancong untuk mengetahui lebih banyak maklumat mengenai spesies ikan jerung serta hidupan laut lain.
“Ia juga sebagai salah satu cara bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pentingnya menjaga kehidupan marin,” katanya.
0 comments:
Post a Comment