Keadaan ekonomi dunia yang makin mencabar kini semakin menyukarkan orang ramai untuk memiliki kediaman sendiri dan pasaran sewa dijangka bakal menjadi alternatif kepada golongan yang tidak mampu membeli rumah.
Syarat pinjaman perumahan yang ketat juga adalah salah satu faktor yang menyebabkan peningkatan kadar sewa. Perunding Hartanah DeOne Properties Shazali Ahmad berkata, merujuk kepada Laporan Pasaran Hartanah 2016 yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), pasaran sewa kediaman di tiga negeri utama iaitu Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang meningkat.
Beliau berkata, di Kuala Lumpur misalnya, kediaman yang berada sekitar laluan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) serta institusi pengajian tinggi mengalami kenaikan sewa manakala kediaman yang berada di kawasan kejiranan yang lama menyaksikan penurunan sewa.
Trend yang sama dilihat di Selangor di mana kediaman yang terletak di sepanjang laluan MRT mempunyai kelebihan untuk mengenakan sewa lebih tinggi. “Di Johor pula, sewaan hartanah kediaman mengukuh.
Rumah teres terletak berhampiran institusi pengajian tinggi dengan akses yang baik mencatatkan pertumbuhan sewa manakala permintaan bagi rumah teres kos rendah dua tingkat yang terhad di Johor Bahru memacu sewa.
“Bagi pasaran sewa Pulau Pinang pula, pada umumnya stabil dengan pergerakan positif dicatatkan di kawasan terpilih, terutama di lokasi yang strategik berhampiran pusat komersial dan kawasan perindustrian dengan perhubungan yang cekap,” katanya kepada media.
Menurutnya, sumber dari Bank Negara Malaysia pula mencatatkan, pada 2016 permohonan pinjaman perumahan 168,154.77 dan hanya diluluskan pada 87,550.87 iaitu 52.1 peratus saja yang berjaya mendapatkan pinjaman membeli rumah.
“Berdasarkan maklumat dikeluarkan NAPIC, kadar sewa secara amnya meningkat di beberapa negeri terutama di kawasan membangun yang mempunyai permintaan tinggi dan berkemungkinan akan meningkat lagi disebabkan peningkatan kos sara hidup.
“Rumah adalah keperluan asas yang penting bagi kehidupan, mahu atau tidak orang ramai terpaksa akur dengan keadaan semasa. Apa yang kita boleh buat adalah dengan memilih rumah sewa mengikut kemampuan pendapatan kita walaupun rumahnya kecil atau kos rendah sekalipun,” katanya.
Beliau berkata, harga rumah baru yang agak tinggi juga sebenarnya memberi kesan yang sangat ketara menyebabkan kebanyakan orang tidak mampu membeli dan terus menyewa. Laporan Pasaran Harta 2016 menunjukkan prestasi jualan rumah baru di seluruh negara hanya pada anggaran kasarnya di bawah 40 peratus dan menyebabkan penambahan unit tidak terjual.
Namun begitu harga kediaman terus kukuh walaupun pasaran menurun. Bagaimanapun, Shazali berkata, pasaran sewa dijangka terus kukuh berikutan peningkatan golongan anak muda dan pembeli rumah kali pertama yang lebih cenderung beralih ke pasaran sewa bagi mendapatkan kediaman sementara dan terus berjimat untuk membeli rumah impian masing-masing.
0 comments:
Post a Comment