Seorang wanita Islam menerbitkan buku panduan seks pertama khusus untuk golongan isteri yang berjudul The Muslimah Sex Manual: A Halal Guide to Mind Blowing Sex, lapor akhbar Guardian kelmarin. Penulis buku kontroversi yang diterbitkan pada minggu lalu itu memilih untuk tidak dikenali dan menggunakan nama samaran Umm Muladhat.
Pelbagai nasihat termasuk teknik berkucupan dan posisi jimak ditawarkan dalam buku itu dengan matlamat utama supaya wanita Islam boleh dan sepatutnya menikmati kepelbagaian dan dominan di tempat tidur.
Umm Muladhat berkata, dia mendapat idea menulis buku itu setelah mendengar pengakuan hubungan intim dingin yang dialami oleh seorang rakannya selepas bergelar pengantin baharu. Sebilangan pengkritik menuduh Umm Muladhat menjadikan wanita Islam sebagai objek seksual dan bukunya menggalakkan zina.
Namun, buku itu menerima sambutan menggalakkan oleh pembaca, malah, ramai antara mereka memuji keberanian penulis mendedahkan topik seks yang sebelum ini dianggap tabu. “Saya menerima maklum balas yang menggalakkan, tidak kurang juga celaan.
“Saya memberi penekanan bahawa persetubuhan mesti dilakukan hanya dengan suami dan menikmati pelbagai pengalaman hubungan intim dengan pasangan halal ini. Adalah menjadi hak isteri untuk mendapat kepuasan daripada suaminya di tempat tidur,” kata Umm Muladhat.
Penulis itu berkata lagi, dia merupakan graduan kelahiran Amerika Syarikat di bidang psikologi, manakala kebanyakan kandungan bukunya ditulis berdasarkan pengalaman sendiri dalam memupuk asmara dengan suaminya.
“Kelayakan terbesar saya ialah pengalaman. Seorang doktor boleh menerangkan tentang ilmu biologi tetapi sekiranya anda mendambakan bentuk badan menarik dan sasa, adalah lebih baik untuk anda belajar daripada ahli bina badan berbanding doktor,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment