KEJADIAN buli perlu dipandang serius kerana ia bukan sahaja mengganggu emosi mangsa tetapi turut mencederakan dan meragut nyawa jika tiada sebarang usaha dilakukan. Lebih membimbangkan, ia dilakukan oleh pelajar sekolah yang sepatutnya membesar menjadi individu berakhlak mulia. Pada usia itu, mereka sepatutnya tekun belajar untuk mengejar cita-cita.
Pada 22 Julai lalu, media melaporkan, seorang pelajar tingkatan satu yang dipercayai tidak tahan dibuli bertindak menghidangkan mi goreng beracun kepada rakan sekelas dalam satu kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman, Sarawak.
Bagaimanapun, perbuatan itu memakan diri selepas suspek diberkas pihak berkuasa setelah keluarga mangsa membuat laporan polis. Suspek berusia 13 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Sri jaya pada pukul 2.30 pagi pada 21 Julai lalu. Hasil siasatan awal mendapati, suspek membawa bekas berisi mi goreng dan sekotak racun lipas ke sekolah.
Semasa di dalam kelas, suspek mencampurkan serbuk racun berwarna putih itu ke dalam mi goreng tersebut dan menawarkannya kepada mangsa. Mangsa kemudian memakan mi goreng tersebut dan selang beberapa minit, dia mula muntah-muntah. Datuk suspek turut membuat laporan polis bagi memaklumkan kisah sebenar di sebalik kejadian itu.
Berdasarkan laporan, datuk suspek mendakwa mangsa kerap membuli cucunya dan kadangkala meminta duit serta makanan yang dibawa setiap hari.
Pensyarah Program Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak, Prof. Madya Dr. Zaiton Hassan berkata, perbuatan buli akan mengganggu emosi mangsa sehingga mendorong mereka bertindak di luar kawalan.
“Mangsa buli akan menjadi seorang yang pemarah, pendendam, berasa rendah diri dan mempersoalkan mengapa dia harus diperlakukan sedemikian. Situasi itu melahirkan naluri mempertahankan diri kerana tidak tahan dibuli dan bertindak membalas dendam sebagai cara menyelesaikan masalah.
“Dia (mangsa) beranggapan jika tiada pembuli maka, tiada lagi kejadian buli,” katanya ketika dihubungi media baru-baru ini.
Trauma
Tambahnya, perbuatan buli itu akan menjejaskan masa hadapan mangsa kerana dia tidak yakin pada diri sendiri, sentiasa curiga, buruk sangka pada orang lain dan kemungkinan juga akan menjadi seorang pembuli. Ujar Zaiton, sekiranya mangsa mengalami trauma yang berpanjangan, mereka perlu dibawa berjumpa dengan psikologi klinikal atau psikiatri.
Selain itu, mengikuti program tertentu seperti seni mempertahankan diri juga dapat membantu membina keyakinan diri kerana orang yang yakin pada diri sendiri selalunya tidak akan dibuli. Zaiton turut menasihatkan ibu bapa agar peka dengan perubahan sikap anak-anak bagi mengelakkan mereka terus dibuli.
Antara tanda-tanda anak menjadi mangsa buli ialah lebih pendiam, takut ke sekolah atau mungkin pemarah di rumah untuk melepaskan kemarahan dan berlaku penurunan prestasi akademik. Mengulas mengenai perilaku pembuli pula, Zaiton memberitahu, dia mempunyai masalah dari sudut psikologi dan inginkan perhatian, rasa kuat serta tidak cukup perhatian daripada ibu bapa. “
Pembuli mempunyai konsep kendiri yang rendah dan berbuat demikian untuk menunjukkan dirinya bagus. “Dia juga berasa puas dan berkuasa melihat orang takut, sekali gus memperoleh apa yang diinginkan,” tuturnya.
Jelasnya, pembuli memerlukan bimbingan kaunseling dan didikan agama. Namun, ada segelintir daripada mereka lebih berkesan dengan tindakan disiplin yang tegas. Pembuli yang memerlukan pendekatan psikologi bergantung kepada umur dan latar belakang.
Zaiton turut menyarankan beberapa langkah untuk membanteras perbuatan buli iaitu Anak-anak diajar menghormati orang dan menyalurkan rasa marah dengan cara yang baik. “Paling penting adalah ibu bapa perlu memberi perhatian kepada anak-anak kerana pembuli selalunya tidak mendapat perhatian dan kasih sayang.
“Selain itu, perhatian guru di dalam kelas juga sangat penting. Lebih mudah jika bilangan pelajar dalam satu kelas sedikit. Sebagai contoh di Britain, dalam satu kelas terdapat 25 orang murid dengan seorang guru dan seorang pembantu. Malah, mereka juga dibantu oleh sukarelawan atau pelajar praktikal,” jelasnya.
Beliau juga, menasihatkan agar cerita-cerita berunsurkan samseng dikurangkan kerana watak itu kelihatan sangat hebat ketika menakut-nakutkan orang sehinggakan remaja mempunyai role model yang salah.
0 comments:
Post a Comment