My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 25 July 2017

    Mencuri Kereta Vintaj Mewah


    Filem mengisahkan rompakan kereta, Overdrive ciptaan Michael Brandt dan Derek Haas mungkin mempunyai beberapa persamaan dengan siri popular Fast and Furious. Cuma bezanya, karya arahan Antonio Negret ini mengetengahkan dua beradik yang handal mencuri kereta vintaj mewah dibintangi Scott Eastwood, Freddie Thorp, Ana de Armas dan Gaia Weiss. 

    Bakal menemui penonton mulai Khamis ini, Overdrive memaparkan deretan kereta klasik antaranya Bugatti model 57 S Atlantic dan Ferrari 250 GTO yang pastinya mengujakan peminat kereta klasik. 

    Menariknya, Scott yang juga anak kepada pelakon dan pengarah legenda, Clint Eastwood pernah beraksi dalam The Fate of the Furious sebagai pegawai keselamatan negara bersetuju membintangi Overdrive kerana filem itu menampilkan kisah segar yang belum diketengahkan mana-mana produksi sebelum ini.

    “Sekarang ada banyak filem olahan semula dan idea menghasilkan cerita rompakan kereta klasik memang menarik dan rasanya karya seperti itu belum ada lagi. Filem ini berkisarkan dua beradik daripada latar belakang dan perwatakan berbeza berganding untuk mencuri kereta,” katanya.

    Selain itu, pelakon kacak berusia 31 tahun ini turut tertarik dengan kereta klasik mewah yang digunakan wataknya, Andrew Foster dalam filem berkenaan. “Ketika membaca skrip, saya terkejut kerana sudah lama tidak melihat kereta Bugatti 57 S Atlantic dan Ferari 250 GTO dipaparkan dalam filem.

    “Kenderaan ini kini sudah menjadi pameran seni dan saya teringin melihat dua model ini digunakan dalam aksi mengejar,” katanya.

    Berkenaan cabaran berlakon di Perancis, Scott mendedahkan sukar menahan keinginan makan roti croissant setiap hari sepanjang berada di negara itu. “Diet orang Perancis berbeza dan saya cuba mengelak daripada makan terlalu banyak croissant setiap hari.

    “Bagi komunikasi pula, bekerja dengan kru produksi yang hanya bertutur bahasa Perancis juga menarik. Semua orang bekerja keras dan saya seronok sepanjang penggambaran,” katanya.

    Bercerita lanjut, pelakon itu mengakui terdapat beberapa aksi dan babak memandu trak besar yang mencabar. “Ada beberapa kereta membawa kamera mengikuti trak, pada masa sama pengarah cuba memberi arahan kepada saya dari atas kenderaan itu.

    “Kelajuan trak itu sekitar 40 hingga 50 kilometer sejam dan berasakan penggambaran babak itu seperti tarian kerana perlu memastikan setiap aksi seiring. Ia memang merumitkan,” katanya.

    Bagi memahami karakter Andrew, Scott berkata, pengarah seorang yang menitik berat persembahan pelakon dan berkongsi bayangannya menghasilkan Overdrive.

    “Negret seorang yang tenang, berbudi bahasa dan juga mudah untuk bekerjasama. Dia memberitahu mahu menampakkan Overdrive dan banyak menggunakan filem klasik seperti Bullitt, Butch Cassidy serta Sundance Kid sebagai rujukan.  Saya minat filem yang disebut Negret dan teruja mendengar penerangannya,” katanya.

    Sedih kereta cantik musnah

    Negret menjelaskan Marseille, Perancis menjadi lokasi pilihan penggambaran kerana ia adalah bandar moden dengan campuran pelbagai budaya dan sejarah menarik. “Marseille bandar unik dan penggambaran filem hebat seperti The French Connection turut dilakukan di sana.

    “Bagi saya, Marseille seperti karakter dalam filem kerana bukan saja mempunyai pemandangan cantik, tetapi juga mempunyai ciri menggoda, eksotik dan sedikit bahaya. Oleh itu, bandar ini sangat sesuai sebagai latar filem ini,” jelasnya.

    Seperti kisah rompakan kereta lain, Overdrive turut memusnahkan banyak kenderaan situasi itu menyebabkan Negret berat hati membuat pengambaran babak terbabit. “Produksi turut bekerjasama dengan BMW yang memperkenalkan beberapa kereta menarik dan cantik. Saya sedih melihat kenderaan ini musnah teruk,” katanya.

    Dalam filem ini, adik-beradik Andrew dan Garret Foster diupah untuk mencuri kereta klasik Bugatti model keluaran 1937 yang bernilai jutaan euro. Bagaimanapun, misi mereka gagal dan ditahan pemilik kereta itu, Jacomo Morier yang juga penjenayah terkenal.

    Bagi mengelak dari dibunuh, dua beradik itu terpaksa melakukan tugas baru iaitu mencuri Ferrari 250 GTO milik Max Klemp yang juga musuh ketat Morier.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Mencuri Kereta Vintaj Mewah Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top