My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 28 July 2017

    Hebat Di Jalanan



    Bagi penggemar motosikal berkuasa tinggi dalam segmen ‘naked’, jenama Kawasaki sering mengeluarkan pelbagai model sesuai buat penunggang baru ataupun berpengalaman. Antara yang menarik tahun ini ialah Kawasaki Z650 ABS yang menggantikan model ER6-n diberi sentuhan baru dari segi rekaan kerangka, enjin dan sistem suspensi untuk lebih mesra pengguna. 

    Penulis yang sebelum ini berpeluang menunggang uji model Ninja 650 ABS, ingin mengetahui pula perbezaan ketara antara dua model ini kerana ia berkongsi enjin, kerangka dan lengan ayun yang sama. Jika dilihat pada rekaan, ia tampil lebih sporty dan ringkas dengan konsep Sugomi yang lebih tirus agar lebih seimbang di antara gaya dan prestasi.

    Contohnya lampu hadapan yang direndahkan serta bahagian belakang dinaikkan. Penahan angin hadapan dengan penutup meter tampil ranggi menyerlahkan gaya agresif pada kerangka baru Trelis seberat 15 kilogram (kg) daripada keluli bertekanan tinggi, membuatkan kedudukan enjin lebih kemas tersimpan.

    Bahagian pelana dengan ketinggian sekitar 790mm selesa untuk pelbagai saiz penunggang dengan tempat duduk belakang untuk pembonceng menjadikan ia model serba guna untuk pelbagai tujuan seharian.

    Lampu belakang dengan huruf Z jelas kelihatan dalam sebarang cuaca menjadikannya tampak unik dengan bahagian belakang lebih kompak dan aerodinamik melengkapkan rekaan Z650 baru ini. Ketika menunggang, gagangnya yang lebar serta ergonomi menerbitkan gaya sporty yang santai untuk tunggangan jarak jauh tetapi mudah dikawal terutama mencelah dalam kesesakan jalan raya. 

    Sudut membelok 35 darjah iaitu lebih dua darjah berbanding Ninja menjadikan ia mudah digerakkan untuk tujuan itu. Tangki bahan api juga direka untuk tampil bergaya serta selesa terutama ketika paha dirapatkan bagi tunggangan lebih lancar. Paparan meter LCD ringkas jika dibandingkan dengan Ninja dengan gabungan analog dan digital supaya lebih jelas pada mata.

    Antara ciri meter ini termasuklah kedudukan gear, kelajuan dan ikon tunggangan ekonomi bagi penggunaan bahan api yang efisien. Penggunaan petrol dicatatkan dengan satu tangki penuh 17 liter mampu bergerak lebih 300 kilometer (km) dengan pelbagai kelajuan tinggi.

    Enjin berkembar selari 649cc sejukan cecair sangat responsif, malah ia mudah dikawal pada pendikit dengan tenaga yang seimbang di antara gear rendah dan pertengahan. Kuasa maksimum sehingga 68Ps dan daya tujahan sehingga 66 Nm sesuai ketika digunakan dalam bandar atau menyusuri lebuh raya pada kelajuan tinggi.

    Transmisi klac enam kelajuan juga berfungsi baik daripada jenis ‘assist and slipper’ yang bekerja serentak mengawal bukaan dan penutup hab klac serta plat operasi bagi kelancaran berterusan. Agar tunggangan lebih selesa, suspensi tunggal belakang yang terletak mendatar di atas lengan ayun motosikal serta sepit udang teleskop hadapan berkeratan rentas 41mm menyerap hentakan dengan baik.

    Kuasa membrek kini juga dipertingkatkan dengan brek cakera berkembar hadapan 300mm dan belakang tunggal 220mm dengan angkup daripada Nissin dilengkapi dengan sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Bosch. Pada pandangan penulis, Kawasaki Z650 ABS menawarkan motosikal yang sesuai untuk semua golongan sama ada buat tunggangan harian atau sekadar aktiviti hujung minggu.

    Enjin yang lancar pada tork rendah dan pertengahan menjadikan pergerakan lebih mudah terutama ketika mengharungi kesesakan jalan raya atau perjalanan jauh. Rekaan ringkas tetapi agresif menjadikan Z650 berada dalam kelas tersendiri dan pilihan yang ideal untuk mereka yang mahu menaik taraf motosikal kepada enjin lebih besar.

    Harga jualan asas ialah RM35,609 termasuk GST dengan dua pilihan warna iaitu hijau atau titanium. Ia diberikan waranti dua tahun atau 20,000 km yang mana lebih awal.

    INFO KAWASAKI Z650 ABS 

    • Enjin: 649 cc, sejukan cecair empat lejang berkembar selari DOHC
    • Kuasa maksimum: 68 PS pada 8,000rpm
    • Tork maksimum: 65.7 Nm pada 6,500rpm
    • Transmisi: Klac enam kelajuan
    • Ciri keselamatan: Sistem brek anti-kunci (ABS), Assist and Slipper Clutch.
    • Harga: RM35,609 (termasuk GST)
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Hebat Di Jalanan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top