Lima penjenayah berputih mata apabila cubaan untuk melarikan pelbagai jenis barangan kemas dari sebuah kedai emas di Jalan Besar Sasaran, Sungai Buloh, Jeram di sini kelmarin tidak kesampaian selepas mereka gagal memecahkan cermin ruang pameran di premis tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.25 pagi itu, kesemua suspek yang berpakaian hitam dan lengkap memakai topi keledar datang ke premis berkenaan dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Alza berwarna ungu sebelum menyerbu masuk ke premis berkenaan.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), empat suspek dilihat beberapa kali cuba memecahkan cermin pameran menggunakan tukul besi dan kapak, namun gagal sebelum bertindak melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah berkata, ketika kejadian terdapat tiga pekerja wanita berada di kaunter kedai tersebut. Katanya, empat daripada suspek kemudiannya memasuki kedai berkenaan manakala seorang lagi berkawal di depan kaki lima kedai dengan memegang sepucuk pistol.
“Sebaik memasuki premis tersebut, empat suspek bertindak memecahkan cermin pameran menggunakan tukul besi dan kapak, namun tidak berhasil. Ketika itu juga, seorang pekerja kedai emas itu telah menekan loceng amaran menyebabkan kesemua suspek melarikan diri,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
0 comments:
Post a Comment