My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 18 July 2017

    Kemelut Cinta, Rumah Tangga



    Sehari sebelum majlis perkahwinannya, Yuhanis kecewa apabila tunangnya Nizam enggan bernikah dengannya. Risau dipandang serong oleh masyarakat, Mizan didesak menggantikan adiknya dan menjadi pengantin bidan terjun. 

    Walaupun pada awal Mizan langsung tidak mahu menurut desakan ibunya, akhirnya dia bersetuju dengan syarat ikatan perkahwinan itu hanya sementara dan dia tidak akan diganggu selepas itu. Bersediakah Yuhanis berhadapan dengan cabaran selepas ‘berkahwin’ dengan Mizan?

    Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin bakal merungkai segala-galanya. Drama bersiri adaptasi novel itu menghiasi slot Akasia pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 6.58 petang.

    Sudah menemui penonton sejak 10 Julai lalu, drama terbitan Primeworks Studios yang diarahkan oleh Nizam Zakaria itu menampilkan gandingan barisan pelakon seperti Idris Khan, Azrel Ismail, Raysha Rizrose, Zera Hariz, Sheila Mambo dan Zain Hamid.

    Nizam berkata, keistimewaan drama ini bergantung pada barisan pelakonnya yang sudah memberikan komitmen terbaik untuk menjayakan watak mencabar yang mereka lakonkan. “Sememangnya agak sukar untuk membawa watak adaptasi novel kerana pembaca sudah mempunyai persepsi tersendiri pada watak yang mereka baca.

    “Namun, dengan adanya latihan, barisan pelakon berjaya membawa watak yang diberikan kepada mereka dengan baik,” katanya.

    Drama 28 episod itu merungkai pergolakan Yuhanis yang terpaksa berkahwin dengan abang tunangnya. Ini disebabkan Nizam sudah pun bernikah dengan orang lain dalam diam ketika menetap di luar negara.

    Ahli keluarga Nizam terkejut selepas mendapat tahu isterinya kini hamil. Nizam pula terpaksa menerima hakikat abangnya Mizan (Idris Khan) bakal diijabkabulkan dengan Yuhanis. Kini, bekas tunangnya sudah menjadi kakak iparnya. Pada masa yang sama, Shila pula merahsiakan sesuatu.

    Sebenarnya, dia sudah hamil sebelum berkahwin. Nizam yang lurus bendul sangkakan kandungan itu ialah anaknya. Nizam amat mencintai Shila dan dia tidak menyangka dirinya dijadikan pak sanggup. Selepas pulang ke Malaysia, Shila terancam dengan Yuhanis. Dia sering mengesyaki Yuhanis mempunyai rancangan untuk merampas suaminya.

    Konflik bermula apabila Suraya (Aprena Manrose), bekas isteri Mizan tiba-tiba muncul kembali dalam hidup Mizan. Suraya ingin merebut kembali cintanya kerana menyesal dengan perpisahan mereka. Selepas mendapat tahu Mizan sudah beristeri, pelbagai masalah kerap terjadi di dalam hidup Suraya lantas menyebabkan dia sedar sebenarnya tiada lelaki lain sebaik Mizan.

    Rumah tangga Mizan dan Yuhanis mula goyah, kebahagiaan dan kasih sayang mereka yang baru berputik mula diuji. Mizan hampir-hampir menceraikan Yuhanis dan tewas kepada godaan Suraya yang mempunyai niat jahat.

    Terdapat rahsia yang belum terlerai, cinta yang tidak terucap dan perkara yang belum selesai dalam keluarga ini. Mampukah Yuhanis mengharungi segala cabaran yang melanda rumah tangganya itu?
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kemelut Cinta, Rumah Tangga Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top