Deretan kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti lori serta bas ekspres yang sering kita dengar, sedikit sebanyak menimbulkan banyak persoalan dikalangan rakyat. Di manakah punca kemalangan demi kemalangan ini berlaku? Adakah disebabkan kelonggaran penguatkuasaan ataupun sikap sambil lewa penyedia perkhidmatan berkenaan sehingga mengakibatkan banyak kehilangan jiwa berlaku.
Terbaru, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) menggesa kerajaan memperkenalkan hukuman penjara mandatori terhadap pemandu yang dibuktikan cuai dan tidak berhemah sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
Mengulas akan hal ini, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata undang-undang yang efektif dapat mengekang sikap pemanduan tidak berhemah, terutama dalam kalangan pemandu kenderaan berat. Pada masa ini, katanya, Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 bagi kesalahan berkenaan.
Ujar beliau lagi, cadangan hukuman penjara mandatori lebih panjang adalah tepat pada masanya kerana nasib penumpang dan orang awam kini seolah-olah bergantung kepada 'belas ehsan' pemandu bas dan kenderaan berat.
Persoalannya, perlukan hukuman seperti ini dikuatkuasakan? Untuk rekod, pelbagai agensi keselamatan jalan raya seperti PDRM, JPJ dan SPAD kerap kali mengadakan operasi besar-besaran bagi mengesan dan membendung sebarang pengabaian dan keselamatan penumpang dan penggun kenderaan awam dan keadaan fizikal kenderaan berat seperti lori di negara ini.
Namun begitu, masih terdapat juga kemalangan yang boleh meragut nyawa dan ini sememangnya menimbulkan kebimbangan. Oleh yang demikian, apa yang dicadangkan oleh MKJR ini dilihat kena pada masanya. Mungkin dengan hukuman yang lebih keras, mampu untuk mengajar pemandu cuai dan sekaligus memastikan penyedia perkhidmatan lori dan bas ekspres ini menitik beratkan keselamatan kenderaan di bawah seliaan mereka.
Di pihak SPAD pula, kerjasama yang terjalin antara agensi berkenaan dengan JPJ, PDRM, MIROS dan banyak agensi lain harus dipertingkatkan dan memerlukan lebih banyak operasi bagi membasmi sebarang kecuaian yang mungkin dilakukan oleh penyedia dan pemandu kenderaan berat ini.
Bukan mahu mengatakan apa yang dilakukan oleh SPAD dan banyak agensi lain tidak begitu berkesan, Cuma, pihak-pihak yang terlibat harus memastikan operasi mereka tidak "bocor" lebih awal dan paling utama, tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal memastikan keselamatan kenderaan mereka berada pada tahap yang optimum.
Hari ini, SPAD antara agensi yang begitu proaktif menangani sebarang kesalahan jalan raya terutamanya yang melibatkan kenderaan berat dan pengangkutan awam. Kerjasama erat antara semua pihak dan pematuhan terhadap undang-undang amat di titik beratkan supaya jumlah kehilangan nyawa melibatkan kenderaan berat ini dapat dikurangkan.
0 comments:
Post a Comment