My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 10 November 2016

    45 Peratus Dah Tukar


    Bank Negara Malaysia (BNM) menyarankan pemegang kad pembayaran yang belum beralih kepada kad bayaran baharu berasaskan penggunaan nombor pengenalan peribadi (PIN) untuk menukar kad masing-masing menerusi bank atau pengeluar kad bayaran bukan bank selewat-lewatnya hujung tahun ini. 

    Pengarah Jabatan Dasar Sistem Pembayarannya, Tan Nyat Chuan berkata, pemegang kad yang sudah menerima kad bayaran berteraskan PIN yang baru turut dinasihatkan untuk segera mengaktifkan kad terbabit dan memilih nombor PIN serta mempraktikkan penggunaannya di terminal pusat jualan (POS) yang disediakan oleh peniaga.

    Beliau berkata, usaha dan sokongan bersama diperlukan daripada semua pihak berkepentingan dalam memastikan kejayaan proses peralihan kepada transaksi berasaskan PIN di terminal POS seluruh negara di samping mengukuhkan sistem pembayaran dari segi keselamatan.

    “Proses peralihan kepada kad berasaskan PIN setakat ini mencatatkan 45 peratus daripada jumlah kad yang ada di pasaran sudah digantikan daripada 25 juta kad meliputi 7.6 juta kad kredit dan 17.8 juta kad debit.

    “Peralihan kepada kad bayaran berasaskan PIN adalah antara inisiatif dalam mempertingkatkan infrastruktur keselamatan kad bayaran di mana ia menggunakan enam digit PIN berbanding kaedah tandatangan yang digunakan ketika ini,” katanya pada taklimat media BNM mengenai peralihan kepada kad bayaran berasaskan PIN di sini, semalam.

    Hadir sama Pengarah Eksekutif Persatuan Bank-Bank Malaysia, Chuah Mei Lin. Tan berkata, ketika ini bank secara progresif sedang menaik taraf terminal pusat jualan supaya boleh menerima PIN menjelang 31 Disember ini dan bermula 1 Januari depan, pemegang kad perlu memasukkan PIN apabila membuat bayaran menggunakan kad di terminal pusat jualan.

    Menurutnya, akan terdapat tempoh percubaan sehingga 30 Julai tahun depan bagi pemegang kad dan peruncit untuk membiasakan diri dengan pelaksanaan sistem baru dan selepas tempoh itu kad berasaskan tandatangan yang dikeluarkan oleh institusi di Malaysia tidak akan diterima pakai lagi. 

    “Bagaimanapun, kad berasaskan tandatangan yang dikeluarkan oleh institusi asing masih boleh digunakan di terminal POS selepas tempoh berkenaan. Bagi terminal pembayaran luar di stesen minyak, kajian dijalankan minggu ini dan penukaran penuh kepada sistem itu dijangka siap menjelang akhir tahun,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, dalam mempromosikan transaksi tanpa tunai dengan lebih meluas, beliau berkata industri perbankan tempatan komited untuk melaksanakan pelaburan kira-kira RM1.1 bilion untuk tempoh enam tahun bermula dari 2015 hingga 2020 bagi menyokong peningkatan infrastruktur kad bayaran itu.

    “Komitmen berkenaan adalah termasuk meningkatkan terminal POS kepada 800,000 terminal POS menjelang 2020, berbanding 275,000 terminal POS yang direkodkan pada tahun lalu,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: 45 Peratus Dah Tukar Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top